'Hidup Abah, Hidup PN’, Penyokong Muhyiddin laung sorakan di SPRM


  • Primer
  • Khamis, 09 Mac 2023

Beberapa penyokong mula melaungkan sorakan terhadap Muhyiddin di ibu pejabat SPRM pada Khamis.

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada pukul 11 pagi Khamis.

Ia susulan bekas Perdana Menteri itu dijadual memberi keterangan terhadap tuduhan yang dihadapi, dengan beberapa laporan mengatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan didakwa.

Namun, seawal pukul 10.00 pagi, beberapa penyokong parti itu sudah mula berhimpun di hadapan pintu ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi melaungkan sorakan dan kepercayaan terhadap Muhyiddin

"Hidup, hidup Abah, Hidup Muhyiddin!" merupakan antara sorakan yang diberikan oleh sebilangan penyokong parti berkenaan.

Lengkap berpakaian baju tertera perkataan 'PN Best' dan gambar Muhyiddin, baju itu diedar secara percuma sebagai solidariti kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Seorang penyokong yang dikenali sebagai Amir Hariz, 35, berkata, sorakan itu dilakukan bagi menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri tersebut.

"Saya sanggup datang seawal 9 pagi, semata-mata mahu menyokong Muhyiddin, ini merupakan solidariti dan sokongan moral terhadap beliau dengan harapan membuka mata ramai pihak akan tuduhan yang dihadapi.

"Laporan beliau ditahan dan sebagainya hanya berita palsu, jadi kita tengok saja apa akan berlaku pada hari ini, saya yakin Abah tak salah," ujarnya.

Pada 17 Januari lalu, SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta, disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram