Bersih gesa kerajaan pimpinan Anwar laksana 3 reformasi


  • Politik
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Bersih menuntut kerajaan pimpinan Anwar melaksanakan beberapa reformasi menjelang 100 hari akan datang.

GENAP 100 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, pelbagai inisiatif dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan Perpaduan dengan tumpuan utama diberikan kepada golongan susah termasuk B40.

Namun, segelintir pihak masih berpendapat bahawa kerajaan di bawah pimpinan Anwar ketika ini masih gagal melaksanakan beberapa manifesto yang dijanjikan dalam pilihan raya terdahulu selain beberapa perubahan turut dituntut menjelang 100 hari akan datang.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan antara pihak yang lantang bersuara soal tersebut dengan menggesa kerajaan melaksanakan beberapa reformasi dan perubahan yang perlu dilakukan dalam tampuk kepimpinan beliau.

Bersih dalam kenyataannya pada Sabtu menjelaskan tiga isu yang perlu diperbaiki dan ditambah baik dalam tempoh 100 hari lagi kepimpinan kerajaan Perpaduan.

Tiga perkara berkenaan adalah, pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan Jawatankuasa Tetap Parlimen (JTP) termasuk satu jawatankuasa untuk pilihan raya dan demokrasi berbilang parti; pembentukan Akta Parlimen bagi peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua ahli Parlimen serta pengiktirafan kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun, pegawai penyelidik dan akses maklumat.

Dalam pada itu, gabungan tersebut turut menyatakan beberapa isu berbangkit yang mengundang kekecewaan dalam kalangan rakyat serta pihaknya susulan kegagalan Anwar dalam melakukan perubahan dalam kepipinannya ketika ini.

“Kami kesal kerajaan telah melepaskan beberapa peluang untuk melaksanakan reformasi yang mudah iaitu meneruskan peruntukan pembangunan kawasan kepada ahli Parlimen pembangkang walaupun dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Tidak ada pemantauan Parlimen dan telus dalam pelantikan pegawai awam utama termasuk Peguam Negara, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Tiada pembentangan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan bagi menghadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang merupakan kandungan MoU antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH yang belum terlaksana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bersih turut menggesa kerajaan untuk mengambil ikhtiar dan melaksanakan tujuh reformasi sebelum 24 November tahun ini melibatkan penggubalan dan pindaan beberapa akta termasuk Akta Pendanaan Politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta semakan semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Bersih dikhabarkan akan terus berbincang dengan kerajaan, Parlimen dan pihak berkepentingan yang lain untuk mendesak reformasi yang dijanjikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram