[VIDEO] 'Kenapa tak tegur', isu pemandu bas JDT parkir halang jalan jadi bahan borak


  • Tular
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Tangkap layar bas pengangkutan pasukan bola sepak JDT yang didakwa menghalang laluan pemandu lain berhampiran Hospital Kuala Lumpur.

TINDAKAN pemandu bas pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang meletakkan kenderaan di tengah laluan jalan raya berhampiran Hospital Kuala Lumpur pada Jumaat mengundang perhatian warganet.

Menerusi perkongsian seorang individu di Twitter, pemandu bas berkenaan didakwa mementingkan diri sendiri apabila sengaja meletakkan kenderaannya di bahu jalan yang sekali gus telah menghalang laluan kenderaan lain.

Turut mengundang kemarahan, perbuatan itu difahamkan berpunca selepas pemandu terbabit dilihat sedang bersarapan di sebuah gerai berhampiran kawasan tersebut.

Enggan mendedahkan identiti lelaki berkenaan, individu si perakam sebaliknya mahu perkongsiannya mendapat perhatian pihak pengurusan pasukan bola sepak berkenaan.

JDT yang sememangnya merupakan kelab tersohor negara sering menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong yang amat meminati pasukan itu.

Namun, insiden terbabit sedikit sebanyak telah mencalarkan imej baik pasukan tersebut dengan rata-rata warganet mengecam situasi berkenaan.

"Memang betul, bas itu parkir betul-betul dekat selekoh nak keluar masuk medan selera belakang hospital HKL, memang mengganggu laluan kenderaan lain yang terpaksa mengelak," kata Muhd Faizul.

"Ada otak boleh fikir rasanya, situ bukan tempat letak kenderaan apatah lagi bas, hidup tak perlu menyusahkan orang," ujar Roslan Hamid.

"Ini belum lagi kes penyokong dia baling batu sebelum ni, tak cukup dengan itu pemandu bas pun nak buat hal di tempat orang," tambah Adam Daniel.

Enggan menuding jari ke mana-mana pihak, seorang penyokong pasukan itu sebaliknya menggesa agar perkara seperti itu tidak dikongsikan di laman media.

"Semua yang berkaitan JDT mesti akan viral, tak perlu pun nak kongsi di media lebih baik kalau pergi tegur sendiri pemandu itu dah selesai semua masalah," jelas AdiIkram97.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas daripada pihak pengurusan pasukan terbabit dengan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram