[VIDEO] Ustaz Sophian terus 'tibai' PBT, kali ini gegar premis niaga haram di Pulau Pinang


  • Tular
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Tangkap layar serbuan dilakukan Ustaz Sophian ke atas sebuah premis niaga di Pulau Pinang.

PENGERUSI Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain sekali lagi mencuri perhatian warganet apabila menyerbu sebuah premis niaga yang didakwa menjalankan perniagaan secara haram di Pulau Pinang pada Khamis.

Lebih mesra disapa Ustaz Sophian, individu terbabit sememangnya aktif dalam menjalankan serbuan ke premis haram yang melibatkan pekerja warga asing di dalam negara.

Terbaharu, sebuah kedai runcit di Pulau Pinang menjadi sasarannya apabila rata-rata pekerja di premis itu hadir dalam kalangan pekerja warga asing.

Kedai tersebut didakwa dijalankan tanpa permit dan lesen perniagaan dengan ketiadaan papan tanda niaga dan juga sijil kelulusan daripada pihak berwajib.

Lantang bersuara soal kelulusan dan permit pekerja warga asing di premis berkenaan, Ustaz Sophian menggesa agar pihak berwajib turun dan membuat tinjauan rasmi di lokasi berkenaan.

Mendakwa Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak menjalankan tugas sewajarnya, Ustaz Sophian berani tampil dengan beberapa bukti kesalahan yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

Mengulas lanjut berubung perkara itu, seorang jurucakap pihak MPPP yang enggan dikenali menggesa agar laporan orang awam dibuat ke talian aduan dengan segera.

"Kami belum ada terima sebarang aduan berkenaan isu tersebut, kalau betul ada dakwaan seperti itu orang ramai diminta terus laporkan ke talian aduan.

"Pihak kami tak boleh ambil sebarang tindakan kalau hanya berdasarkan video viral semata-mata dan segalanya perlu disalurkan maklumat ke pihak yang sepatutnya," ujarnya pada Majoriti.

Kecewa dengan situasi terbabit, Ustaz Sophian kemudiannya meminta agar pihak berwajib tampil dan menjalankan tugas sebaiknya bagi membanteras isu pendatang dan tapak niaga haram di Malaysia.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk hadir dan membuat laporan ke pihak berwajib dengan kadar segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram