Kes sarjan mati 3 das tiada unsur jenayah, tembakan pertama dan kedua tak kena organ penting — Polis P. Pinang


  • 112
  • Selasa, 07 Mac 2023

Shuhaily berkata, siasatan mengenai kejadian berkenaan selesai dan tiada unsur jenayah ditemukan.

POLIS sedang menunggu beberapa laporan lengkap berhubung kejadian anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas, George Town, Pulau Pinang 19 Februari lepas bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, laporan itu seterusnya akan dihantar bagi permohonan inkues berhubung kejadian tersebut untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Kami akan memohon inkues berhubung kejadian itu selepas menerima laporan lengkap iaitu laporan kimia, balistik dan bedah siasat termasuk patalogi. Dari segi siasatan, ia (kes) memang disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

"Berdasarkan laporan bedah siasat awal, tembakan pertama dan kedua tidak mengenai organ penting yang boleh menyebabkan mangsa (Sarjan) mati serta-merta dan siasatan juga tidak menunjukkan kehadiran orang lain di situ (semasa kejadian) malah saya tegaskan sekali lagi, tiada elemen jenayah dalam kejadian tersebut," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau ditemui pada Majlis Sumbangan dan Bantuan kepada anak-anak istimewa dan anak-anak yatim piatu tadika Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) dengan penyampaian sumbangan RM100,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Laksana Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, siasatan mengenai kejadian berkenaan selesai dan tiada unsur jenayah ditemukan serta selari dengan dapatan pertama mereka iaitu bunuh diri sekali gus mengklasifikasikan kematian anggota berkenaan sebagai SDR.

Pada 19 Februari lepas, Sarjan Jana Milie, 51, ditemukan meninggal dunia di belakang Balai Polis Bayan Lepas dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala.

Terdahulu, Mohd Shuhaily dalam ucapannya berkata seramai 90 anak istimewa dan 116 anak yatim serta dua tadika di bawah kelolaan PDRM iaitu Tadika Kemas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Tadika Perpaduan IPD Barat Daya menerima bantuan daripada Laksana pada Selasa.

''Sumbangan sebanyak RM100,000 ini amat bermakna kepada kesemua penerima hari ini (Selasa), saya sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dengan rendah hati mengucapkan setinggi terima kasih kepada Laksana atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan,'' katanya.

Sementara itu, Shahrul Nazri berkata sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Laksana kepada mereka yang memerlukan dan sepanjang tahun lepas, pihaknya menyumbang sebanyak RM1 juta bagi program CSR. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram