AS tembak 'objek' kedua lepas jatuhkan belon pengintip China


  • Benua
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Tangkap layar belon pengintip sebelum ditembak jatuh oleh jet pejuang F-22.

TENTERA Amerika Syarikat (AS) telah menembak jatuh "objek altitud tinggi” di atas ruang udara Alaska.

Jabatan Pertahanan menjejaki objek di ruang udara Alaska dalam tempoh 24 jam yang lalu, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih John Kirby semasa taklimat akhbar harian pada Jumaat.

"Objek itu terbang pada ketinggian 40,000 kaki dan menimbulkan ancaman kepada keselamatan penerbangan awam," katanya.

Beliau berkata atas nasihat Pentagon, Presiden AS Joe Biden mengarahkan tentera untuk menembak objek itu.

"Kami tidak pasti...Kami juga tidak mempunyai sebarang maklumat yang mengesahkan tujuan objek itu,” tambah Kirby.

Minggu lalu, tentera Amerika Syarikat menembak jatuh belon yang dipercayai belon pengintip milik China setelah dilihat terapung beberapa hari di ruang udara negara itu.

Serpihan belon itu kelihatan hancur dan saki-bakinya jatuh secara menegak ke dalam lautan dan menurut seorang pegawai pertahanan AS, pihaknya akan mengutip serpihan yang jatuh dari perairan wilayah AS tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

AS, China, Alaska, objek, ruang udara, belon pengintip