"INI adalah pertandingan keluarga. Siapa juga yang bertanding, akhirnya (yang menang) Umno juga."
Demikian reaksi diberikan penyandang Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkenaan persaingan bersama bekas mentornya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, pada pemilihan kali ini.
Shahrizat yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai membuat kejutan baru-baru ini apabila mengumumkan untuk kembali aktif dalam politik selepas berehat hampir lima tahun sejak 2018.
Shahrizat yang juga bekas Ketua Wanita Umno itu mengesahkan akan bertanding selepas menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan itu pada 17 Januari lalu.
Noraini berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pendirian Shahrizat itu dan amat mengalu-alukan persaingan tersebut yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada semangat demokrasi.
Katanya, keputusan untuk tetap bertanding di sebalik perkembangan tersebut dilakukan keranan ramai daripada anggota sayap wanita memintanya untuk kekal mempertahankan jawatan tersebut.
"Saya hanya pertahankan kedudukan saya dan dengan keputusan beliau untuk bertanding menentang saya, ia tidak mengurangkan langsung hormat saya kepada beliau," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Noraini berkata, untuk persaingan kali ini, beliau dan Shahrizat masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam tawarannya kepada sayap wanita Umno.
"Macam saya masuk waktu zaman Umno susah. Waktu itu dengan keadaan tidak ada kewangan, kalah dan situasi di mana kita pergi berperang dengan tidak ada apa, tidak ada senjata.
"Tapi Alhamdulillah kita mampu untuk menang setiap kali pilihan raya kecil (PRK)," ujarnya yang menyatakan bahawa kesetiaan adalah elemen paling penting dalam usaha mengukuhkan parti.
Sementara itu, Noraini turut memberikan penjelasan berhubung kritikan dilemparkan terhadap kepimpinannya yang disifatkan sebagai agak kurang menonjol berbanding pemimpin wanita Umno sebelum ini.
Ahli Parlimen Parlimen Parti Sulong itu berkata, dalam soal tersebut, kepimpinan wanita di bawahnya lebih menumpukan terhadap gerak kerja untuk mengukuhkan kedudukan wanita di peringkat parti dan juga negara.
Katanya, hasil tersebut dapat dibuktikan menerusi pertambahan calon wanita pada beberapa pilihan raya sebelum ini di samping libat urus yang berjaya dilakukan bersama kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.
"Seperti yang saya kata, dia bukannya kuat mana dan sebagainya sebab akhirnya kita tidak perlu nak bergaduh dengan orang, atau ugut-ugut.
"Tapi libat urus itu yang paling penting macam mana kita dapat pastikan anggota di bawah dapat laksanakan benda itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram