Sah Noraini pertahan jawatan Ketua Wanita Umno, lawan bekas mentor


  • Politik
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Noraini mula memegang jawatan Ketua Wanita Umno pada tahun 2018, iaitu tahun sama Shahrizat mengumumkan pengunduran diri daripada politik.

DATUK Seri Dr Noraini Ahmad secara rasminya akan bertanding bagi mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno untuk penggal kedua pada Pemilihan kali ini.

Borang pencalonannya telah diserahkan di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada pagi Jumaat.

Dengan perkembangan tersebut, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu akan bersaing dengan mentornya yang juga bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bagi merebut jawatan tertinggi sayap wanita parti itu.

Shahrizat yang baru-baru ini membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik bagi merebut jawatan tertinggi sayap wanita parti itu sudah menghantar borang penamaan pada 17 Februari lalu.

Noraini yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini mula memegang jawatan Ketua Wanita Umno pada tahun 2018, iaitu tahun sama Shahrizat mengumumkan pengunduran diri daripada politik.

Pemilihan jawatan bagi sayap Umno, termasuk Wanita bakal berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.

Proses penamaan bagi pemilihan kali ini akan tamat pada 26 Februari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram