KETUA Wanita Umno bahagian di seluruh Malaysia merindui kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno, kata Aminah Johan.
Ketua Wanita Umno Bahagian Kinabatangan itu menyifatkan kepimpinan Shahrizat adalah terbaik setakat ini, kerana beliau pernah mengangkat martabat serta membela wanita Umno pada suatu ketika dahulu.
"Dengan kembalinya pemimpin yang berkaliber yang pernah menerajui kepimpinan Umno pada masa lalu, Ketua Wanita Umno bahagian seluruh Malaysia sangat mengalu-alukan kepimpinan Tan Sri.
"Beliau mempunyai kepimpinan luar biasa pada wanita. Beliau diharap dapat menerajui pergerakan wanita ini, supaya ada hala tuju sangat baik di masa akan datang," katanya kepada Majoriti.
Aminah
Sebelum ini, Shahrizat yang juga bekas Ketua Wanita Umno secara rasmi bertanding semula merebut jawatan tersebut, dalam pemilihan parti itu.
Beliau yang pernah menerajui sayap Umno itu antara 2008 hingga 2018, menyerahkan kertas pencalonannya pada Jumaat di ibu pejabat Umno, di ibu negara.
Shahrizat ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2011.
Mengulas lanjut, Aminah berkata, Shahrizat pada awalnya enggan merebut kembali jawatan tersebut, namun beliau akhirnya 'berlembut hati' apabila didesak Ketua Wanita Umno bahagian di seluruh negara.
"Kami nampak kepimpinan beliau sebagai pejuang wanita dan mempunyai kasih sayang kepada Ketua-Ketua Wanita Umno bahagian.
"Beliau sentiasa memikirkan apa yang perlu dibuat dan dibantu. Kami mengharapkan ketua yang boleh melakukan pembelaan," jelasnya yang juga Setiausaha Wanita Umno Sabah.
Sebelum ini, seramai 147 ketua Wanita Umno bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat menerajui sayap wanita parti itu, memandangkan legasi dan reputasi bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal walaupun selepas bersara daripada politik.
Mahu perubahan
Shahrizat memperkenalkan kenderaan serba baharu semasa pelancaran program Skuad Prihatin Wanita Umno Negeri Terengganu di Bukit Payong, Kuala Terengganu, Terengganu pada Mac 2010.
Ketika ditanya mengenai perubahan yang ingin dilakukan ketika ini, Aminah berharap agar Ketua Wanita Umno yang dilantik kelak mampu mengangkat martabat wanita.
Selain itu, beliau berharap agar Ketua Wanita Umno juga mampu membela Ketua-Ketua Wanita Umno bahagian, termasuk mengadakan program-program dan mendekati akar umbi di setiap bahagian.
"Kita melihat wanita perlu dibela dan dipandang mempunyai kepimpinan baik. Itu yang diharap Ketua-Ketua Wanita Umno Bahagian.
"Namun, kepimpinan hari ini dilihat tiada hala tuju wanita. Kita sudah bagi ruang dan peluang kepada kepimpinan sekarang, tapi tidak melihat ada pembelaan untuk wanita itu sendiri," tambahnya.
Pada Pemilihan Umno bulan depan, Shahrizat dijangka bertembung dengan penyandang jawatan Ketua Wanita Umno, iaitu Datuk Seri Noraini Ahmad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram