SEORANG pemandu teksi warga emas berusia 70-an berdepan dengan detik mencemaskan selepas dia dirompak dua penumpang dengan bersenjatakan pisau lipat, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3.50 petang Sabtu.
"Kedua-dua suspek dalam linkungan umur 30-an itu menaiki teksi dari Gelang Patah dan kononnya mahu dihantar ke Pengerang.
"Semasa tiba di tepi jalan berhampiran tokong Thai San Kong, suspek mengacukan pisau lipat di belakang pinggang mangsa.
"Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga iaitu telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM400 dan seutas jam tangan.
"Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan semak berdekatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Hussin berkata, susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Pengerang pada jam 4.53 petang Sabtu.
"Dalam tempoh tidak lebih empat jam selepas kejadian, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya melakukan tangkapan ke atas dua suspek.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan kedua-dua suspek mendapati terdapat tatu berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan salah seorang suspek dan disyaki ahli kumpulan kongsi gelap.
"Semakan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek mendapati masing-masing memiliki rekod jenayah dan dadah termasuk seorang suspek masih dikehendaki membabitkan dua kes jenayah yang dilaporkan di Serendah pada 2022 dan Rawang, Selangor pada 2010," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Majistret, Kota Tinggi, Johor pada Ahad di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram