[VIDEO] Penjaja tanpa lesen di Kelantan terlajak emosi, terjerit-jerit marahkan penguat kuasa PBT serbu gerai jalanan


  • Tular
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Tangkap layar seorang lelaki memarahi anggota Majlis MPKB-BRI yang cuba menyita barang perniagaanya di Lotus's Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

ADAT resam berniaga sudah pasti ada pahit manisnya tidak kira di mana pun seseorang itu menjalankan perniagaan mereka.

Peristiwa yang berlaku pada seorang penjaja di Kota Bahru, Kelantan pada Khamis seharusnya dijadikan pengajaran buat peniaga lain untuk mencari rezeki halal.

Hal ini kerana walaupun cuba mencari rezeki dengan cara berniaga, namun ia haruslah dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di halaman Facebook Otai Johor, memaparkan seorang lelaki dipercayai penjaja jalanan bergaduh mulut dengan anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) ekoran tidak berpuas hati kerana gerai tepi jalannya disita.

"Suasana tegang di antara penjaja dengan Penguatkuasa MPKB-BRI berhampiran Lotus's Kota Bharu, Kelantan.

"Susulan itu tindakan terpaksa diambil kerana terdapat penjaja yang berniaga tanpa lesen dan tanpa kebenaran di kawasan tersebut," tulisnya.

Dalam video berdurasi seminit 32 saat itu memaparkan seorang lelaki memakai baju biru berseluar khakis tidak berpuas hati apabila pihak berkuasa cuba merampas barang perniagaannya.

Turut kelihatan seorang wanita dipercayai penjaja di kawasan tersebut juga menjerit memarahi anggota penguatkuasa tersebut.

Mungkin kerana terlalu marah, wanita itu juga membuat provokasi dengan menolak beberapa barangnya sehingga terjatuh ke jalan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi melihat video tersebut.

Hakimi Boh berasakan pihak berkuasa sepatutnya memberi amaran sebelum menyita barangan penjaja di kawasan tersebut.

"Patut beri amaran dulu, jangan sita. Kesian kepada penjaja kecil-kecilan ini," katanya.

Afik_ pula menganggap tindakan kedua-dua individu berkenaan memakan diri sendiri kerana bertindak terlalu emosi.

"Emosi sangat kedua-duanya. cuba bertenang dan bincang baik-baik. Kalau dah 'panas' macam ini, macam mana orang nak bertolak ansur," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram