[VIDEO] Ranau dilanda banjir lumpur, banyak kawasan terputus hubungan


  • Tular
  • Selasa, 28 Feb 2023

Tangkap layar kejadian banjir lumpur yang melanda kawasan Kampung Kemburongoh di daerah Ranau, Sabah pada Selasa. — Facebook

PENDUDUK Kampung Kemburongoh di daerah Ranau, Sabah berdepan dengan detik mencemaskan pada Selasa selepas kampung mereka dilanda banjir kilat ekoran hujan yang berterusan sejak pagi.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di halaman Facebook Borneo Voice memaparkan sebahagian daripada kawasan kampung tersebut dibanjiri dengan air lumpur.

"Banjir lumpur di Ranau, Sabah," tulisnya.

Aliran air lumpur itu juga sangat deras dan kawasan tersebut masih lagi dilanda hujan.

Difahamkan penduduk di kawasan tersebut sudah berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bersimpati dengan keadaan yang menimpa penduduk di kawasan tersebut.

Alfus Alvin berkata, banjir lumpur tersebut pertama kali berlaku di kawasan berkenaan.

"Aku ada kawan tinggal di situ, dia bilang (kata) banjir pertama kali terjadi. Nasib mereka sudah pergi ke kawasan lebih selamat," katanya.

Sementara itu, Anna Anna mendoakan penduduk kampung yang terkesan dengan keadaan tersebut.

"Teruknya. Semoga orang-orang di kawasan banjir ini semua selamat. Semoga dipermudahkan segala urusan," tulisnya.

Seorang lagi warga maya, Dominic Jau mendakwa berkemungkinan berlaku tanah runtuh di kawasan kampung terbabit.

"Nampak macam ada tanah runtuh berlaku di sana. Tengok air dan kayu-kayu yang dibawa arus air deras itu.

"Bahaya buat penduduk kampung. Saya doakan selamat buat semuanya," katanya.

Sementara itu, hasil pemerhatian Majoriti di media sosial mendapati, kebanyakan jalan di daerah Ranau tidak boleh dilalui oleh kenderaan ekoran daripada banjir lumpur yang melanda kawasan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah di halaman Facebook rasminya.

Setakat berita ini ditulis, kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan jalan sedang dilakukan ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram