BARU-baru ini tular satu video seorang warga Rohingya yang meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan kelantangan aktivis dikenali sebagai Mohd Sophian yang menegur etnik tersebut di Malaysia.
Selain meluahkan kekecewaannya, pemuda tersebut turut meminta Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang itu untuk tidak masuk campur dalam urusan warga asing.
Mengundang kecaman warganet di laman media, tindakan warga asing itu telah dihujani pelbagai tohmahan yang sekali gus menyebabkan rakaman terbabit tular di laman media.
Terbaharu, lelaki berkenaan memuat naik video permohonan maaf di laman TikTok peribadinya susulan ia semakin hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.
Menerusi video tersebut, warga Rohingya terbabit memohon maaf atas segala keterlanjuran katanya dalam video terdahulu.
"Maafkan saya ustaz (Mohd Sophian), saya rasa bersalah dengan ustaz dan semua orang Melayu, saya minta maaf dengan kesalahan yang pernah saya lakukan.
"Saya tidak sepatutnya masuk campur dalam perkara itu, saya minta maaf," ujarnya.
Sebelum ini, Majoriti turut melaporkan seorang individu etnik Rohingya meminta hak sama rata dengan rakyat tempatan kerana mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara.
Namun, masih belum ada sebarang maklum balas daripada Mohd Sophian dan pihak polis berhubung video tular tersebut dan orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram