Lepas tawar diri bertanding jawatan Naib Presiden, Azalina dicanang bakal jadi Presiden Umno lagi 10 tahun


  • Politik
  • Ahad, 26 Feb 2023

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) juga pernah mengisi jawatan sebagai Menteri Pelancongan dan Menteri Belia dan Sukan.

PADA Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) pertengahan Januari lalu, perwakilan Umno sebulat suara membuat keputusan agar dua jawatan tertinggi parti berkenaan iaitu Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan dalam Pemilihan kali ini.

Dengan perkembangan tersebut, tumpuan pada pemilihan kali ini tentunya terarah kepada persaingan bagi merebut tiga slot untuk mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden Umno, yang merupakan kedudukan ketiga tertinggi dalam hierarki parti.

Setakat ini, dua penyandangnya iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah mengesahkan akan bertanding bagi mempertahankan jawatan tersebut.

Bekas Perdana Menteri yang juga penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula masih belum mengeluarkan sebarang pendiriannya dengan waktu pencalonan akan tamat pada jam 5 petang Ahad.

Calon lain turut menawarkan diri ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, terdapat juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, yang turut menawarkan diri untuk bersaing antaranya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam kalangan nama tersebut, antara mencuri tumpuan tentunya kehadiran Azalina yang tampil sebagai satu-satunya calon wanita bertanding bagi merebut jawatan tersebut pada Pemilihan kali ini.

Melihatkan kepada pengalaman dimilikinya, adalah tidak pelik untuk melihat beliau bersaing bagi merebut jawatan tersebut.

Ini kerana, selain mempunyai kedudukan agak kanan dalam barisan kepimpinan Umno, Azalina juga telah memegang beberapa portfolio dalam jemaah menteri sejak tahun 2004.

Selain kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), beliau turut pernah mengisi jawatan sebagai Menteri Pelancongan dan Menteri Belia dan Sukan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet juga melahirkan keyakinan dan sokongan terhadap keputusan Azalina bagi merebut jawatan tersebut.

"Terbaik. Orang macam ini yang kita mahu. Diharap perwakilan undi la wanita besi ini. Jangan bagi terlepas jawatan penting ni ke tangan manusia yang tidak setia kepada parti." kata Farizz Zan.

"Ya bagus, wakil wanita ke jawatan no 3 UMNO. Yang boleh buat kerja dan tahu undang-undang," tulis Mohd Khalil Mohd Ali.

Dalam pada itu, dengan perkembangan tersebut, terdapat juga warganet yang mula mencanangkan nama Azalina sebagai individu yang bakal menjadi Presiden Umno dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ibnu M Ghazli menulis," Mau jadi Presiden Umno nanti. Wanita besi ini."

"Nanti Azlina boleh menang. Boleh jadi Presiden Umno." ujar Mohammad Afzan.

Azlisyam Marzuki pula menulis, "Bakal Presiden Umno 10 tahun akan datang."

Pemilihan Umno yang bermula pada 1 Februari lalu akan berlangsung sehingga 18 Mac depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram