Tun M masih tidak mengalah, kini sertai Putra angkat suara penyatuan Melayu


  • Politik
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan keluar daripada Pejuang selepas parti itu membuat keputusan meninggalkan GTA ekoran kekalahan memalukan gabungan tersebut pada PRU15.

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diumumkan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putrae) selepas tidak sampai sebulan beliau bertindak keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Perkara itu disahkan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Katanya, penyertaan tokoh politik itu yang juga bekas Pengerusi Pejuang bersama beberapa individu lain di bawah parti berkenaan bertujuan bagi meneruskan perjuangan menyatukan orang dan parti pertubuhan Melayu.

"Doakan semoga ALLAH permudahkan perjuangan kami. Hanya melalui penyatuan orang Melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air," kata Armin menerusi hantaran tersebut.

Turut kelihatan menghantar borang dipercayai bagi menyertai Putra dalam gambar dikongsikan Armin ialah , bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pada 10 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada Pejuang, iaitu organisasi ditubuhkannya pada Ogos 2020 selepas parti itu membuat keputusan meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) ekoran kekalahan memalukan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo PEJUANG gagal memperoleh sebarang kemenangan meskipun meletakkan calon di 125 kerusi Parlimen.

Dr Mahathir sendiri turut kalah teruk dengan majoriti 13,518 undi dan hilang deposit di kerusi disandangnya, Parlimen Langkawi apabila sekadar meraih 4,566 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tun M, Putra, Pejuang, PRU15, GTA, parti politik Melayu