PERLAWANAN Liga Super 2023 Liga Super 2023 Kuala Lumpur (KL) City FC di halaman sendiri pada Sabtu menyaksikan skuad Warga Kota itu terpaksa berputih mata daripada memperoleh mata penuh apabila diikat seri 2-2 dengan Penang FC.
Lebih mengecewakan, perlawanan tersebut yang sepatutnya dimenangi dengan selesa kerana KL City sudah pun mendahului dengan dua jaringan di samping kedudukan pihak lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain bermula pada minit ke-58.
Dalam aksi tersebut, pasukan pelawat berjaya bangkit menyamakan kedudukan di fasa akhir perlawanan dengan dua gol masing-masing menerusi Hadin Azman di minit 73 dan Gomez da Silva minit 85.
Keputusan tersebut ternyata membuatkan pengendali KL City seakan-akan 'naik angin' selepas beliau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap beberapa keputusan pengadil pada perlawanan yang diadakan di Stadium Bola Sepak Cheras di ibu negara pada Sabtu.
Ia antaranya membabitkan tindakan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya susulan insiden pertembungan melibatkan penyerangnya, Herlison Caion dengan penjaga gol Penang, Shafiq Afifi Suhaimi pada babak kedua.
Kenyataan jurulatih kelahiran Croatia meskipun dilakukan secara tersirat mengkritik dalam mutu pengadilan liga itu bukanlah kali pertama berlaku.
Malah beliau sebelum ini sudah pun beberapa kali membuat hal melalui beberapa kenyataan pedas dan tindakannya yang mencetuskan kontroversi bukan sahaja membabitkan isu pengadilan tetapi mengenai perkara lain.
Terkenal sebagai seorang pengendali yang tegas dan berterus terang, kenyataan dan tindakan yang dilakukan beliau sering kali mencetuskan sensasi dalam arena bola sepak tanah air.
Berikut Majoriti senaraikan empat sensasi 'luar padang' yang pernah dicetuskan Bojan sejak lebih sedekad bersama kancah bola sepak negara:
1) Bojan dapat amaran Hamidin
Bojan menyifatkan tindakan Pan Gon membawa dua pemainnya hanya sekadar untuk bercuti ketika skuad KL City perlu berdepan jadual padat mengharungi aksi Liga Super selain persiapan penting final Antara Zon Piala AFC.
Tindakan Kim Pan-gon memanggil dua tonggak KL City menyertai skuad Harimau Malaya untuk kejohanan Piala Raja Thai pada September lalu menimbulkan rasa tidak puas terhadap Bojan kepada jurulatih skuad kebangsaan itu.
Beliau menyifatkan Pan-gon membawa dua pemainnya hanya sekadar untuk bercuti ketika skuad City Boys perlu berdepan jadual padat mengharungi aksi Liga Super selain perlu melakukan persiapan penting untuk final Antara Zon Piala AFC.
Ini kerana kedua-dua pemain tersebut iaitu Zhafri Yahya dan Declan Lambert hanya bermain kira-kira 10 minit.
Susulan daripada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi amaran terhadap Bojan agar berhenti mempersoalkan tindakan Pan-gon.
Katanya, sebagai bekas jurulatih pasukan kebangsaan bawah 20 tahun negara, Bojan seharusnya lebih memahami peraturan kerana pemain yang terpilih perlu menjalani latihan di bawah bimbingan Pan-gon, meskipun tidak diturunkan.
2) Mengamuk dalam bilik persalinan
Tular satu video pada Disember 2021 yang yang memaparkan Bojan di dalam bilik persalinan, dipercayai dirakam ketika menentang paskan itu menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Menerusi video berdurasi 39 saat itu, Hodak kelihatan bengang dan bertindak menumbuk papan putih taktikal di bilik persalinan tersebut kerana pemain tidak memahami sistem permainan yang beliau arahkan.
Beliau turut bertindak melontar sebotol air mineral ke atas lantai untuk melepas geram.
Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak mencederakan mana-mana pemain yang kelihatan hanya terdiam mendengar kekecewaan Bojan.
Beliau berjaya membawa KL City mencipta sejarah pada musim tersebut dengan memimpin pasukan itu merangkul Piala Malaysia ke-100.
3) Kritik pembanguan bola sepak negara
Ketika menjadi jurulatih skuad B-19 negara pada tahun 2019, beliau mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sistem bola sepak negara selepas anak buahnya tewas buat kali kedua dalam Kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun.
Meskipun mendapat kecaman daripada Timbalan Presiden FAM ketika itu, Datuk Yusoff Mahadi, beliau tetap kekal dengan pendiriannya yang menyifatkan sistem pembangunan bola sepak Malaysia sebagai lemah.
Malah, beliau juga menganggap kualiti bole sepak Malaysia berada di tahap kritikal.
Pada tahun sama, FAM membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak beliau.
4) Mengamuk masuk padang
Bojan yang pernah menjadi pengendali Johor Darul Takzim (JDT) turut pernah mencetuskan kontroversi ketika menerajui kelab gergasi bola sepak tanah air itu sebelum ini.
Semasa perlawanan di antara JDT menentang Felda United pada musim 2014, Bojan bertindak melakukan konfrotasi ke arah pasukan pengurusan pihak lawan sejurus tamat perlawan.
Menerusi rakaman video insiden tersebut, Bojan dilihat bertikam lidah dengan anggota kejurulatihan Felda United sehingga mencetuskan ketegangan.
Namun begitu, tindakan beliau itu diredakan oleh beberapa pegawai pengurusan JDT yang tampil pantas untuk meleraikan keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram