'Rakyat tak sabar mahu perubahan, saya juga tak sabar', Anwar petik siasatan Pandora Papers, reformasi sektor awam elak ketirisan


  • Primer
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Anwar berkata, perolehan Kerajaan mesti dilaksanakan dengan telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.

KERAJAAN Perpaduan akan melaksanakan reformasi institusi dan tatakelola baik dengan tegas bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah dan penyelewengan sistemik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, semua agensi ketika ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menyiasat salah laku rasuah dan termasuk nama terkait dalam skandal Pandora Papers.

"Agensi berkenaan juga akan terus menyiasat kekayaan luar biasa bagi memerangi jenayah rasuah daripada terus membarah.

"Rakyat sudah tidak sabar mahukan perubahan, saya juga tidak sabar untuk lakukan anjakan pembaharuan supaya urusan Kerajaan akan lebih pantas, mudah dan telus," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, perolehan Kerajaan mesti dilaksanakan dengan telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.

Katanya, ketika ini, projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion dan Jana Wibawa (RM7 bilion) dan projek lain yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.

"Setelah sebilangannya ditender semula secara telus, negara dijangka boleh jimat sekurang-kurangnya RM3 bilion. Penjimatan besar seperti ini akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain.

Dalam pada itu, Anwar berkata, bag mengukuhkan usaha pembanterasan rasuah di dalam negara, Kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini.

Anwar berkata, langkah ini dilakukan kerana ramai pihak sebelum ini berasa curiga, takut dan menerima tekanan, apabila ingin memberikan maklumat.

"Ini bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar menuaikan hasil," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram