Cukai pendapatan M40 kurang 2 peratus, 2.4 juta peroleh lebihan gaji sehingga RM1,300


  • Primer
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Pengurangan cukai pendapatan itu dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

KADAR cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000 pada tahun ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan bagi membantu menambahkan pendapatan kumpulan berpendapatan M40 di dalam negara.

"Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan akan menaikkan kadar cukai pada tahun ini bagi mereka berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

Katanya, langkah mengenakan cukai lebih tinggi itu hanya akan membabitkan kurang daripada 150,000 pembayar cukai di dalam negara.

"Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih Kerajaan sebanyak RM900 juta untuk manfaat rakyat khususnya M40," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram