[VIDEO] Produk mewah termasuk jam tangan dan vape dikenakan cukai - Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Anwar berkata, kerajaan tidak mencadangkan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti GST.

KERAJAAN bercadang memperkenalkan Cukai Barangan Mewah bermula tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia meliputi antaranya jam tangan dan fesyen mewah.

Katanya, kaedah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk melaksanakan percukaian lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai terhadap mereka yang mempunyai kemampuan.

"Selaras amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.

"Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, kerajaan tidak mencadangkan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Goods and Services Tax (GST).

Menurutnya, dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih 5 peratus dan kadar upah yang masih rendah, masih belum sesuai untuk memperkenal dan melaksanakan cukai berkenaan.

Selanjutnya, beliau berkata, kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

"Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih 2 bilion ringgit.

"Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram