Mahdzir Khalid sah pertahan jawatan Naib Presiden Umno, nyata pendirian bersama Ahmad Zahid


  • Politik
  • Khamis, 23 Feb 2023

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid.

BEKAS Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno untuk penggal kedua pada Pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, borang pendaftaran penamaan calon sudah diserahkan di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada petang Khamis.

Mahdzir merupakan individu kedua mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno selepas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Ketika ini Umno berada dalam situasi sangat mencabar dan saya mengambil pendirian untuk teruskan peruangan dan khidmat bakti kepada parti ini dan menawarkan diri bersama-sama dengan saf kepimpinan.

"Ini untuk membantu kepimpinan tertingg Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Berbekalkan pengalaman saya dalam politik dan pentadbiran sama ada di peringkat persekutuan dan negeri, atas faktor itu untuk menggembleng semua semangat parti keramat ini," katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Khamis.

Mengulas mengenai kedudukannya pendiriannya bersama Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno, Mahdzir menegaskan beliau memberikan penekanan terhadap aspek kebersamaan dan disiplin dalam organisasi parti.

"Perbezaan pendapat satu yang boleh dinyatakan, tetapi apabila keputusan parti telah dibuat, kita akur dengan keputusan parti," katanya yang dilantik sebagai menteri ketika di pentadbiran pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat Selasa, Ismail Sabri dilaporkan masih belum membuat keputusan sama ada untuk mempertahankan atau melepaskan jawatan Naib Presiden Umno yang disandangnya ketika ini, dalam pemilihan parti pada Mac ini.

Pendaftaran calon pemilihan Umno 2023 akan ditutup pada 26 Februari ini.

Ismail Sabri sebelum ini bagaimanapun sudah mengesahkan bakal merebut jawatan ketua bahagian Umno tanpa menamakan mana-mana bahagian bakal ditandingi.

Dalam pada itu, Mahdzir turut memberikan penjelasan berhubung dakwaan mengatakan dirinya berada di dalam kem bekas Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Datuk Seri Hishammuddin kena gantung, jadi saya ingat pernah berada dalam Kabinet bersama. Tapi bila datang kepada parti, saya kira sebab itu saya berada di sini, keutamaan nombor satu adalah parti.

"Saya datang sini jadi menteri besar ke timbalan menteri ke, saya jadi menteri pun kerana parti," ujarnya.

Umno pada 27 Januari lalu mengumumkan penggantungan Hishammuddin selama enam tahun ekoran pelanggaran disilpin parti sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram