[VIDEO] Lagi premis McD kotor, tikus berkeliaran di bilik roti bersebelahan tong sampah


  • Tular
  • Selasa, 21 Feb 2023

Tangkap layar seekor tikus kelihatan berkeliaran di sebuah bilik simpanan roti dan tong sampah.

SEBUAH restoran segera terkemuka, McDonald's cawangan Aeon Cheras Selatan, Kuala Lumpur didakwa gagal mengekalkan tahap kebersihan makanannya apabila seekor tikus kelihatan berkeliaran di sebuah bilik makanan premis tersebut pada Isnin.

Lebih menjijikkan, sebuah tong sampah juga diletakkan berhampiran dengan bungkusan roti dalam restoran berkenaan yang nyata mengundang seribu satu rasa kecewa warganet di laman media.

Dirakamkan menerusi kamera telefon pintar, beberapa individu dipercayai mengambil rakaman itu selepas premis itu tamat waktu beroperasi.

Dalam pada itu, ruangan komen dipenuhi dengan kecaman dan tohmahan orang ramai susulan perkara tersebut.

"Memang pengotor McD sekarang ni, dah berapa kali dah kes macam ini terjadi, tak payah makan dah la buat masa sekarang dekat mana-mana cawangan pun," kata Hafizi Rozaidi.

"Apasal letak makanan dengan tong sampah dalam satu bilik yang sama, kan itu makanan sepatutnya dilindungi dan bersih, macam ni ke kualiti restoran McD sekarang? soal Yaya Marzuki.

"Tak payah la makan McD lagi lepas ni, banyak sangat yang kotor dah tak reti jaga kebersihan, kita bayar harga mahal dapat macam ni buat apa," jelas Siti Azman.

Susulan kes tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu hantaran di Twitter memaklumkan bahawa satu tindakan tegas akan diambil dengan segera.

"Kami akan buat tindakan lanjut dengan secepat mungkin. Tikus lagi," tulisnya di Twitter.

Usaha Majoriti untuk mendapatkan komen daripada pihak terbabit masih lagi belum terjawab.

Pada awal Februari lalu, McDonald's cawangan Kota Kemuning, Selangor diarah tutup selama dua minggu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas tular video menunjukkan seekor tikus berkeliaran di premis tersebut.

Tersentak dengan kejadian itu, warganet terus melaporkan perkara itu ke pihak berwajib dan KKM telah mengeluarkan notis penutupan cawangan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram