KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri bagi merancang penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beberapa lokasi strategik sudahpun dikenal pasti dan pihaknya bersama PBT bakal memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan, dengan perkembangan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
"Fokus kita adalah Bazar Ramadan dan perbincangan akan diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemain industri yang berminat untuk menyertainya," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Inisiatif Payung Rahmah dan Cabaran ‘Beli & Menang RM1.1 juta’ di KK Super Mart Terminal Bersepadu Selatan, di ibu negara pada Rabu.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersedia menjadi pemudahcara bagi mana-mana pemain industri yang belum atau sukar mendapatkan permit, ataupun lesen perniagaan.
"Kita terbuka kepada mana-mana peniaga untuk mengetengahkan perkara ini kepada mana-mana wakil kementerian supaya kita dapat bantu mereka selesaikan masalah berkenaan," katanya.
Merujuk kepada majlis pelancaran pada Rabu, Salahuddin berkata, Jualan Rahmah di KK Super Mart akan dikembangkan kepada inisiatif lain yang bersesuaian dari semasa ke semasa seperti Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Menu Rahmah, sebagai tanda sokongan pihak pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd ke atas inisiatif menangani kos sara hidup yang sedang diterajui oleh KPDN.
Menurutnya, KPDN turut melihat usaha dan promosi pihak pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd melaksanakan Cabaran ‘Beli & Menang RM1.1 juta’ pada tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2023 ini, sebagai satu galakan berbelanja kepada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu di KK Super Mart.
Program ini melibatkan penyertaan tanpa had dalam kalangan warganegara Malaysia dan penduduk tetap di Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, yang membuat pembelian minimum RM23 di mana-mana 680 premis KK Super Mart, yang memberikan mereka peluang memenangi pelbagai hadiah, yang nilai keseluruhannya berjumlah RM1.1 juta. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram