TIGA individu lelaki dipercayai warga tempatan yang didakwa merompak di Taman Desa Paul, Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak pada Jumaat diburu polis.
Sebuah video rakaman CCTV memaparkan tiga penyamun berkenaan sedang beredar dari kawasan perumahan tersebut selepas melakukan rompakan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian dilaporkan oleh mangsa apabila rumah sewanya telah dimasuki tiga lelaki bersenjatakan parang dan pisau sekitar pukul 2 pagi.
Menurutnya, mangsa berusia 50 tahun bersama rakan serumahnya juga yang merupakan seorang lelaki telah diikat suspek semasa melakukan rompakan tersebut.
"Ketiga-tiga suspek mengarahkan mangsa dan rakannya keluar dari bilik tidur dan terus mengikat mereka dengan menggunakan wayar pengecas telefon.
"Suspek kemudian meminta wang serta mengambil barang-barang berharga dari rumah tersebut sebelum beredar," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya lagi, suspek beredar dari rumah mangsa pada pukul 4 pagi dan berjaya melarikan seutas rantai emas dianggarkan seberat 16 gram, wang tunai berjumlah RM3,200 dan dokumen peribadi.
"Mangsa berjaya membuka ikatannya dan terus melaporkan kepada pihak polis," katanya.
Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan terus melancarkan operasi memburu suspek sebaik sahaja laporan diterima.
"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati suspek masuk dengan memotong lima batang jeriji besi tingkap di salah satu bilik di tingkat bawah rumah tersebut.
"Semasa kejadian, kedua-dua mangsa tidur di bilik di tingkat atas," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram