Identiti pelajar rosakkan harta sekolah dikenal pasti, ibu bapa akan dipanggil — Fadhlina


  • Tular
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Fadhlina Sidek menjelaskan pihaknya sudah mengenal pasti pelajar yang terlibat dalam isu vandalisme berkenaan.

SUSULAN video tular keganasan sekumpulan pelajar yang menghancurkan harta sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, Kementerian Pendidikan Malaysia sudah mengenal pasti kesemua individu terlibat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan perbuatan vandalisme serta keganasan yang dilakukan kumpulan pelajar terbabit.

Katanya, pihak sekolah berkenaan sudah mengenal pasti identiti pelajar terbabit dan kini sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

"Perkara ini merupakan kegiatan vandalisme dan berada dalam pengetahuan pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Tindakan pertama sekolah adalah memanggil pelajar-pelajar berkenaan dan ibu bapa mereka untuk siasatan.

"Berdasarkan video tular itu, saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku dan kita memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan.

"Untuk hal ini, bimbingan dan kaunseling juga difikirkan perlu diberikan kepada pelajar terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, beliau meminta orang awam tidak menularkan video itu dan menurunkannya dengan segera bagi menjaga serta memelihara identiti pelajar dan sekolah terbabit.

"Saya harap perkara ini tidak ditularkan dan berharap semua pihak dapat menurunkan video terbabit supaya kita dapat memberikan tumpuan untuk pemulihan pelajar tersebut, khususnya kaunseling kepada mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram