Bukan setakat halang, lelaki 'bertapa' atas jalan siap halau anggota bomba


  • Tular
  • Selasa, 21 Feb 2023

Tangkap layar aksi lelaki tersebut ketika menghalang laluan jentera bomba baru-baru ini.

SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman menarik perhatian ramai apabila menjadi 'batu penghalang' sehingga menyukarkan kerja-kerja pasukan barisan hadapan.

Menerusi video tular, lelaki yang memakai t-shirt dan berseluar pendek itu pada mulanya duduk di tengah-tengah jalan raya sambil bercakap seorang diri, menyebabkan laluan kenderaan terhalang.

Pada masa sama, jentera bomba yang kebetulan lalu di lokasi kejadian terpaksa menangguhkan perjalanan dan memberhentikan kenderaan tersebut.

Dalam video berasingan, kelihatan seorang anggota bomba yang turun dari kenderaan itu cuba mengarahkan lelaki tersebut untuk beredar menuju ke bahu jalan.

Namun, usahanya dilihat sia-sia apabila lelaki itu enggan menuruti arahan tersebut, menyebabkan anggota bomba berkenaan berasa hampa dan terus memasuki kenderaannya.

Lelaki itu sebaliknya tampil bangun dan menuju ke arah jentera berkenaan sambil bercakap dalam bahasa yang tidak difahami.

Tindakan lelaki itu seterusnya menyebabkan usaha anggota penyelamat untuk tiba di lokasi yang dituju atas perkara melibatkan kecemasan tergendala.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Pulau Pinang pada Isnin malam.

Majoriti cuba mendapatkan kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut, namun belum menerima maklum balas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram