SEBANYAK 56 buah batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Kabupaten Blitar, Jawa Timur, Indonesia dilaporkan musnah pada Sabtu.
Susulan perkara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa agar pemerintah di kawasan berkenaan segera campur tangan dan mengatur semula peraturan pengebumian jenazah di situ.
Dalam pada itu, si pelaku yang disyaki melakukan kegiatan vandalisme itu turut meninggalkan surat ugutan yang ditandatangani dengan nama Munkar dan Nakir.
Perkara itu disahkan oleh ketua kampung, Aan Erdiyanto yang menjelaskan, laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut.
"Ada 56 buah batu nisan yang mengalami kerosakan dan kami telah melaporkan kepada pihak polis dan kini sedang dalam siasatan," katanya.
Tambahnya, pihaknya akan memanggil waris pusara yang terkesan dengan kerosakan itu bagi membincangkan berkenaan hal terbabit.
Selain daripada kerosakan, si pelaku turut meninggalkan pesanan berbentuk ugutan dalam surat tersebut.
"Maaf penjaga kawasan perkuburan, pada awal perjanjian kubur dilarang dibina dalam apa jua bentuk.
"Hanya perlu ada dua batu nisan, ingat!
"Yang benar, Munkar dan Nakir," demikian kandungan dalam surat itu.
Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak polis masih menjalankan siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram