REMAJA 17 tahun sempat merakam video ucapan untuk keluarganya ketika terperangkap di bawah runtuhan rumahnya menyentuh hati warga maya.
Pada 6 Februari lalu, ketika gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud melanda Kampung Adiyaman, Turkiye, Taha Erdem dan keluarganya dikatakan sedang tidur.
Taha dikejutkan dengan gegaran bangunan dan dalam masa 10 saat, Taha, ibu, bapa adik lelaki serta adik perempuannya menggelongsor ke bawah bersama runtuhan bangunan tersebut.
Walaupun berada dalam keadaan yang mencemaskan itu, Taha tidak bimbang melainkan mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula merakam ucapan selamat tinggal kali terakhir dan berharap dia akan ditemukan selepas kematiannya.
Keadaan bangunan runtuh yang menyayat hati di Turkiye. — Agensi
"Saya rasa ini adalah video terakhir yang akan saya rakam untuk anda," katanya ketika berada dalam ruangan yang sempit. Gegaran yang berlaku di bangunan tersebut dapat dilihat apabila telefon bimbitnya turut bergegar.
Semasa video itu dirakam, jeritan mangsa lain yang terperangkap turut didengari.
Dia mengucapkan kata-kata terakhirnya dengan penuh tabah dan keberanian yang luar biasa, di samping turut memaklumkan kecederaan dan penyesalannya.
"Banyak perkara yang saya kesalkan, semoga Allah mengampuni segala dosaku, jika saya keluar dari sini masih keadaan bernyawa, banyak perkara yang ingin saya lakukan. Tangan saya tidak mengigil cuma ia adalah gegaran gempa bumi," katanya sebelum membaca doa.
Remaja itu turut menceritakan bahawa dia percaya keluarganya sudah meninggal dunia bersama-sama mangsa lain di bandar tersebut dan tidak lama lagi dia akan bersama mereka di negeri abadi.
Tetapi Taha ditakdirkan menjadi antara mangsa yang terawal diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan.
Dia ditarik dari runtuhan dua jam kemudian oleh jiran dan dibawa ke rumah ibu saudaranya.
Ibu bapa dan adik-beradiknya turut diselamatkan 10 jam selepas gempa itu berlaku oleh penduduk tempatan yang mana menggali runtuhan bangunan itu dengan tangan.
Kisah keluarga Taha Erdem adalah salah satu kisah ketabahan insan dalam mengharungi cabaran hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram