SEORANG gadis berdepan dengan nasib malang apabila bukan sahaja diserang dengan pisau, malah rambutnya turut ditarik oleh seorang lelaki di sepanjang jalan.
Menerusi video tular, Omkar Tiwari, 47, memegang sebilah pisau sambil menarik rambut remaja berusia 16 tahun itu ketika mangsa cedera parah.
Kejadian tersebut berlaku di Raipur, Chhattisgarh, India pada Sabtu lalu.
Menurut polis, mangsa yang berada dalam keadaan kritikal itu kini dirawat di sebuah hospital kerajaan.
Sementara itu, suspek sudah pun ditahan pada Ahad.
Superitendan Kanan Polis, Raipur Prashant Agrawal berkata, gadis itu bekerja dengan suspek di sebuah kedai runcit di Gudhiyari.
Beliau berkata, suspek mahu mengahwini remaja berkenaan, namun permintaannya ditolak manakala mangsa sudah pun meletakkan jawatan.
Laporan awal turut mendapati, mangsa juga mempunyai masalah berkaitan wang dengan suspek.
Pada Sabtu petang, suspek yang didakwa mabuk menyerbu masuk ke dalam rumah gadis itu sebelum melakukan kekacauan.
Dia didakwa menyerang dan menikam gadis itu menggunakan pisau.
Gadis tersebut cuba melarikan diri, namun suspek sempat mengejar dan menarik rambutnya sehingga mangsa rebah di atas jalan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak polis yang kemudiannya bertindak menahan suspek. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram