Saki baki ulat kartel jenazah masih wujud, rakyat dakwa pak imam terbabit pakai kereta mewah


  • Massa
  • Isnin, 20 Feb 2023

Gambar hiasan.

MASIH belum hadir rasa insaf buat segelintir individu yang bergiat aktif dalam sindiket 'kartel jenazah' yang banyak mengambil kesempatan ke atas keluarga si mati.

Kegiatan kartel jenazah ini bermula sekitar 2020 semasa negara sedang mengalami pandemik Covid-19 yang mana ketika itu ramai terkoban akibat wabak tersebut.

Sejak dari itu, ada individu yang mengambil kesempatan daripada keadaan kesusahan, kekalutan orang lain demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.

Seorang pengguna media sosial, Eila Fazillah berkongsi cara bagaimana kartel jenazah mendapat keuntungan daripada waris si mati.

"Hospital tiada khidmat mandi kafan jenazah, yang ada khidmat dari jurumandi lantikan swasta berbayar.

"Urusan mandi kafan ditangan waris dan mereka boleh pilih nak guna panel lantikan berbayar atau jurumandi kariah yang dibawa sendiri dari luar atau NGO," katanya dalam Facebook.

Tambahnya lagi, waris turut perlu berhati-hati dengan van jenazah yang berada di hospital kerana jika tiada logo bulan sabit itu merupakan kenderaan kartel jenazah.

"Setiap hospital ada menyediakan khidmat van jenazah dengan kadar harga yang rendah mengikut per kilometer pergi dan balik.

"Malah harga yang ditawarkan 30 sen hingga 60 sen per kilometer dan tidak melebihi RM300 hingga RM500 untuk penghantaran jauh.

"Sebelum guna khidmat van jenazah hospital pastikan pada van semua milik hospital yang mempunyai logo bulan sabit dipintu atau dibadan kenderaan.

"Jika tiada khidmat tersebut adalah dari pihak ketiga atau ulat van jenazah," dakwanya lagi.

Hospital tiada khidmat mandi kafan jenazah, yang ada khidmat dari jurumandi lantikan swasta berbayar.

Dia turut memberi peringatan kepada keluarga waris agar menanyakan harga dahulu sebelum jenazah mula dimandikan mahupun di bawa masuk ke dalam van.

"Sebelum jenazah dimandikan atau dibawa masuk ke dalam van, pastikan tanya harga terlebih dahulu.

"Kerana modus operandi kartel jenazah ialah urus dulu bayar kemudian, harga pastinya tidak masuk akal jadi jangan terperangkap," jelasnya.

Tidak hairanlah jika ada individu yang berani secara terang-terangan mengaku dia merupakan kartel jenazah.

Ini kerana individu-individu tersebut mempunyai orang dalam atau digelar ulat untuk mendapatkan maklumat si mati dengan lantikan pihak swasta oleh hospital lalu memudahkan kegiatan kartel jenazah.

Perkara ini turut didedahkan oleh Mr Wan Cai Official di Facebook apabila individu-individu yang menjalankan kartel jenazah tanpa segan silu secara terang-terangan mengaku mereka sebahagian kegiatan itu.

"Niat dihati urus jenazah kerana pahala, tapi dikaburi duit yang terkumpul akhirnya hanya dosa.

"Dulu minum kopi di kedai mamak, sekarang minum kopi di Starbucks, begitulah kehidupan seseorang selepas jadi kartel jenazah.

Menurut seorang lagi pengguna media sosial, Mohd Azman mendakwa perkara ini sudah lama terjadi dan memang kartel jenazah memberi pulangan besar buat individu terlibat.

"Benda ini dah lama, ada sesetengah pak imam siap pakai merc mata belalang lagi hasil kartel jenazah ini.

"Bayangkan hari-hari ada kematian dekat hospital dan ada link dengan bilik mayat," dakwanya berhubung kegiatan itu.

Suspek yang terlibat dengan kartel jenazah. Bernama

Sebelum ini empat individu termasuk dua penolong pegawai perubatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan 'kartel pengurusan jenazah’.

Malah mereka turut dijatuhkan hukuman penjara kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Bertitik tolak daripada kenyataan demi kenyataan dalam kalangan pengguna media sosial, Majoriti sedang cuba mendapatkan maklum balas pelbagai pihak lain berhubung isu itu sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak terjebak dalam kegiatan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram