'Baik fokus isu kos sara hidup', Tuan Ibrahim sifatkan perarakan di Setiu tiada isu


  • Politik
  • Ahad, 19 Feb 2023

Perarakan sekumpulan Pemuda Pas negeri memakai pakaian beragam sambil memegang replika senjata pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu pada Jumaat.

KONTROVERSI membabitkan ahli sayap Pemuda PAS yang berarak sambil membawa objek berbentuk replika senjata dan perisai tidak sepatutnya diperbesar-besar, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS berkata, perarakan berseragam itu seperti opera Cina yang mana pelakonnya turut membawa pedang dan lembing, sekali gus tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu.

"Lebih baik kita tumpukan masa dan tenaga kepada perkara yang lebih bermakna seperti menangani peningkatan kos sara hidup, pendidikan dan masalah sosial," katanya seperti dipetik laporan portal berita.

Sementara itu, penganjur perhimpunan tersebut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama spenuh kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Bercakap kepada The Star, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, dia belum dipanggil oleh pihak polis untuk soal siasat.

"Bukan saya tapi mungkin ada yang lain yang sudah dipanggil polis," katanya.

Terdahulu, Polis Terengganu, berkata pihaknya sedang menyiasat perarakan kontroversi itu untuk mengenal pasti sama ada berlaku sebarang kesalahan dalam perarakan itu.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, walaupun penganjur ada memaklumkan kepada polis mengenai perarakan itu, namun mereka tidak memaklumkan mengenai replika senjata kepada pihaknya.

"Walaupun polis tahu tentang program itu, kami tidak dimakumkan mengenai perarakan replika senjata yang telah menimbulkan rasa kurang senang dan kebimbangan sesetengah pihak.

"Polis akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kesalahan yang berlaku dalam program itu dan tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.

Terdahulu, perarakan sekumpulan Pemuda Pas negeri memakai pakaian beragam sambil memegang replika senjata seperti pedang dan tombak pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tular di media sosial.

Polis mendapati, kejadian tersebut berlaku di sebuah resort di Setiu pada Jumaat.

Hasil siasatan mendapati perarakan tersebut merupakan pertandingan mereka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

Ia menimbulkan kegusaran dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan mempamerkan dan memiliki senjata walaupun palsu kepada khalayak merupakan kesalahan jenayah mengikut Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram