BEKAS Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
Berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Parlimen pada 2004 hingga 2013 serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan 2013 hingga 2018 merupakan antara faktor beliau dilantik memegang jawatan berkenaan.
Dalam pada itu, pelantikan itu turut menerima kecaman serta spekulasi ramai yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan perkara tersebut.
Ia bertitik-tolak daripada penolakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ketika di blok pembangkang yang tidak setuju dengan pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Sehubungan itu, rakyat mula menggunakan situasi berkenaan susulan pelantikan Nazri ke Amerika Syarikat.
Berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan (PH) terdahulu hanya menyatakan tidak akan ada lantikan politik untuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan berkaitan pelantikan wakil diplomat di luar negara.
Malahan, perdana menteri ketika ditanya berhubung pelantikan Nazri menyifatkan ia bukan satu kesalahan yang perlu dipertikaikan.
Menurutnya, pelantikan itu telah dibuat pada awal tahun lepas dan pihaknya tidak melihat sebarang alasan kukuh untuk membatalkannya.
Walaupun jawapan telah diberi namun warganet di laman media sosial masih menyuarakan pendapat masing-masing berhubung keputusan tersebut yang dilihat tidak adil buat rakyat.
"Saya kurang bersetuju, sewajarnya jawatan utama seperti duta ini perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, ada hubungan baik dengan negara luar bukan hanya berdasarkan pemilihan politik semata-mata," kata Ahmad Mohamed.
"Lebih baik lantik yang dah berpengalaman dan yang telah lama berkhidmat dalam PTD, ramai lagi yang lebih muda dan selayaknya," ujar Bahari Zainol.
"Kerajaan sekarang dah mula nak putar belit cerita, dulu kata lain sekarang dia yang mungkir janji dengan kenyataan pelantikan dah dibuat tahun lalu," tambah Shahmir Ruzman.
Pelantikan Nazri adalah susulan beberapa pusingan U lain yang diambil oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan iaitu pelantikan anak perempuan Perdana Menteri, Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan dan ekonomi serta pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, keputusan pelantikan Nazri juga tidak dipersetujui terutama daripada kalangan bekas diplomat termasuk bekas duta ke Belanda, Noor Farida Ariffin dan bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Kanada, Dennis Ignatius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram