KEMAJUAN teknologi masa kini telah banyak mendatangkan kebaikan dan kemudahan kepada masyarakat dengan pelbagai peranti moden yang sudah diterapkan dalam negara ketika ini.
Gajet dan telefon pintar merupakan antara perkara yang semakin digilai zaman sekarang khususnya dalam kalangan generasi muda.
Namun, perlu diingat bukan semua yang berkemampuan dan celik mempraktikkan teknologi masa kini dalam kehidupan seharian.
Secara dasarnya, masih ada lagi golongan yang lebih gemar untuk mengekalkan elemen 'zaman batu' yang dianggap sudah ketinggalan oleh sesetengah pihak.
Antara perkara yang paling mengundang spekulasi dalam kalangan penduduk ketika ini adalah sistem imbasan kod QR pada menu yang semakin meluas digunakan di restoran dan kedai makan.
Tidak dinafikan, penggunaan sistem itu sedikit sebanyak dapat mengelak daripada berlaku sebarang kesalahan dan kecuaian pihak majikan dalam membuat pesanan selain ia juga dapat menjimatkan tenaga kerja.
Namun, ada kalanya pengenalan sesuatu sistem itu dilihat tidak mengambil kira dari segala aspek kepentingan masyarakat hingga ada beranggapan seolah-olah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas tidak diendahkan.
Penggunaan telefon pintar dan sambungan internet ada kalanya mengundang masalah buat golongan terbabit, apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk memilki peranti canggih seperti itu.
Lebih menyedihkan, golongan OKU khususnya seakan ditindas apabila sering terkecuali dalam peredaran teknologi yang kian moden pada masa kini.
Golongan OKU cacat penglihatan antara yang terkesan dengan pengenalan sistem imbasan kod QR. — Awani
Pendapat warganet di laman media nyata lebih bijak dan terbuka berbanding sesetengah pihak yang hanya mahu mengikut peredaran zaman tetapi tidak memandang dari sudut kepentingan ramai.
Seorang lelaki OKU yang dikenali sebagai Riduan Md Isa meluahkan kesedihannya berhubung situasi berkenaan.
"Kasihan golongan seperti kami, untuk OKU penglihatan tiada kemesraan pun terhadap kami, harap dapat diserap sedikit sebanyak berkaitan rekaan dan keperluan golongan kurang upaya pada masa akan datang," katanya.
"Ada kekurangannya juga jika sistem itu digunakan pada semua restoran kerana golongan orang tua dan OKU tiada kelebihan dalam hal itu, terpinga-pinga mereka kalau nak pesan makanan guna telefon pintar," kata Milysya Aleena.
"Ibu bapa saya berusia 70 tahun, boleh terima lagi kalau pakai sistem tulis pesanan kemudian tekan loceng tu, tetapi kalau kena imbas kod sendiri memang payah, kasihan la pada warga emas dan OKU," tambah Tini Iszuraida.
Terbaharu, penggunaan mesin robot sebagai penghantar makanan juga sudah semakin meluas di Malaysia dengan segala proses penghantaran makanan akan dilakukan oleh peranti canggih itu.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, namun rintihan warganet khususnya golongan yang terkesan perlu diambil kira oleh pihak berwajib agar ada penyelarasan dan penambahbaikan yang dilakukan pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram