Banjir cecah paras pinggang, cucu gendong selamatkan nenek sejauh 250m di Pasir Puteh


  • Massa
  • Ahad, 25 Dis 2022

Beberapa buah negeri terutamanya di sebelah pantai timur sedang diduga musibah banjir ketika ini.

SEORANG warga emas berusia 105 tahun, Mariam Din tidak pernah menduga buat pertama kali dalam hidupnya menyaksikan kediamannya di Kampung Jelor, Kelantan, dilanda banjir besar berikutan hujan lebat berterusan pada 18 Disember lepas.

Mariam berkata, ketika kejadian cucunya, Hadi Salleh, 46, terpaksa mengendongnya untuk segera keluar dari rumah berikutan paras air mulai naik dengan cepat dan deras sehingga mencecah paras pinggang.

"Cucu saya redah banjir sambil gendong saya sejauh hampir 250 meter dari rumah ke bahu jalan raya untuk pastikan saya selamat.

"Ketika itu saya cukup cemas kerana air naik dengan cepat di kawasan rumah dan ia merupakan pengalaman pertama saya melihat kampung dilanda banjir," katanya ketika ditemui di rumah anaknya Minah Yaakub, 70, di Kampung Jelor, Kelantan pada Ahad.

Mariam yang mempunyai tujuh anak dan 39 cucu, berkata, dia tidak berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) atas faktor kesihatan dan keselamatan, sebaliknya menumpang di rumah anaknya yang tidak terjejas banjir kerana terletak di kawasan agak tinggi.

Seorang lagi penduduk kampung, Umar Mat Hassan, 63, pula berkata, dia kerugian hampir RM5,000 selepas mengalami kerosakan harta benda seperti perabot, peralatan dapur dan barangan elektrik akibat banjir tersebut.

"Saya redah banjir guna perahu orang kampung dan sampai di PPS Sekolah Kebangsaan Jelor sehelai sepinggan sebab tidak dapat selamatkan apa-apa barang yang ada di rumah.

"Sebelum ini, saya hanya lihat kampung lain dilanda banjir tetapi apabila terkena pada diri sendiri baru tahu betapa sukar melalui situasi cemas sebegini. Ini merupakan kali pertama Kampung Jelor dilanda banjir besar," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram