'Mereka semakin berleluasa', 5 kes jenayah 'viral' libatkan warga asing


  • 112
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Beberapa kes jenayah melibatkan warga asing kian meningkat kebelakangan ini.

ISU jenayah dan keganasan melibatkan warga asing sama ada pendatang atau pelancong di Malaysia semakin hari semakin membimbangkan.

Tidak dinafikan bahawa peranan warga asing amat penting dengan kebanyakan mereka 'diimport' bagi menampung tenaga kerja di sektor perkilangan dan pembuatan.

Namun, kebelakangan ini kes jenayah dalam negara semakin dipenuhi dengan isu keganasan melibatkan pelancong dan pendatang asing yang sekali gus mengundang ketakutan dalam kalangan rakyat tempatan.

Berikut merupakan lima kes jenayah tular yang melibatkan pelancong dan pendatang asing.

1. Pengemis 'berlakon'

melaka

Aksi pengemis berpura-pura sakit tengkuk ketika meminta sedekah.

Golongan ini licik mempamerkan taktik dalam memperdaya rakyat tempatan apabila sering menampilkan aksi raih simpati kononnya sakit, membawa kanak-kanak dan menunjukkan kecacatan.

Taktik ini boleh pernah tular menerusi perkongsian video di Twitter yang menunjukkan seorang pengemis berjalan terhincut-hincut meminta sedekah daripada deretan kereta yang berhenti di persimpangan jalan dekat Cheng, Melaka.

Memakai pendakap leher untuk menagih simpati orang ramai, suspek kemudiannya pantas beredar sebaik diekori seorang individu lelaki yang cuba untuk mendekatinya.

Dalam pada itu, pihak kerajaan negeri digesa mengambil tindakan segera ke atas lambakan kehadiran pengemis warga asing yang semakin berleluasa di Melaka.

2. Mat salih kaki tinju

mat saleh

Anggota polis menahan seorang pelancong asing yang menumbuk lelaki tempatan.

Seorang lelaki warga asing disyaki mabuk dengan beraninya bertindak menumbuk seorang lelaki tempatan walaupun dikelilingi beberapa orang pegawai polis di Petaling Street, Kuala Lumpur.

Ketika kejadian, warga asing tersebut pada mulanya dilihat duduk di laluan pejalan kaki premis kedai ketika mangsa sedang berurusan dengan pihak polis.

Secara tiba-tiba, warga asing dipercayai berasal dari Amerika Syarikat tersebut bangun dan terus menumbuk mangsa di hadapan pegawai polis yang bertugas.

Ekoran tindakan ganasnya itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut.

3. Curi minyak sapi

minyak

Seorang lelaki warga asing dirakam mencuri minyak sapi di sebuah kedai.

Seorang lelaki dipercayai warga asing dilaporkan mencuri minyak sapi di sebuah pasar raya di Taman Sri Serdang, Seri Kembangan, Selangor pada Oktober tahun lalu.

Ketika kejadian, lelaki berkenaan terlebih dahulu memasuki ke premis itu dengan membawa sebuah beg sebelum mengambil bakul untuk kononnya membeli barang.

Namun, perbuatan mencurigakan itu terlihat sebaik individu terbabit membawa beberapa minyak sapi ke satu ruang tersorok di belakang dan menyimpan kesemua barang itu ke dalam begnya.

Suspek sebelum ini dikesan pernah mencuri di beberapa buah pasar raya lain di sekitar kawasan yang sama namun, pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada suspek sudah ditahan atau tidak.

4. 'Toretto' pandu X70 tunjuk samseng

toretto

Seorang pemandu warga asing memandu Proton X70 berkelakuan biadab apabila meninggikan suara dan menggunakan kekerasan terhadap pemandu di Pulau Pinang pada Januari lalu.

Ketika kejadian, kedua-dua individu berkenaan dipercayai bertembung di laluan sama yang sekali gus mengakibatkan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Situasi kian meruncing apabila lelaki tersebut kemudiannya dicekik dan ditolak ke dalam keretanya.

Tersentak dengan perkara itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan masih mengekalkan kesabarannya selepas tidak membalas sebarang tindakan ganas tersebut dan terus beredar dari lokasi berkenaan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

nepal

5. Nepal merusuh gara-gara masalah gaji

Selang beberapa minggu selepas kejadian 'Toretto' di Pulau Pinang, satu insiden rusuhan melibatkan sekumpulan pekerja Nepal di Amber Court, Genting Highlands, Pahang pula berlaku.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kejadian tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada orang awam yang melaporkan ratusan warga asing berkumpul dan melakukan rusuhan diketuai dua lelaki dipercayai merupakan 'dalang' dalam kejadian tersebut.

Kejadian itu difahamkan berpunca akibat isu kelewatan gaji dan tidak puas hati pekerja di sebuah syarikat penginapan hostel di situ.

Pihak polis berjaya mengawal situasi berkenaan dan pemantauan di lokasi kejadian juga dijalankan secara berkala bagi mengelakkan insiden berkenaan berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram