Aplikasi digital atasi masalah pelekat 'roadtax', tiada lagi lesen memandu fizikal


  • Primer
  • Jumaat, 10 Feb 2023

KPM mengumumkan penggunaan lesen digital akan berkuat kuasa bermula 10 Februari ini.

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.

Mulai 10 Februari 2023, pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis (secara in-house).

Pengumuman ini dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas menerima maklum balas orang ramai berhubung masalah yang dihadapi berkaitan pelekat 'roadtax'.

Selaras dengan inisiatif ini, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana “setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan” tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik di bawah fasa pertama.

Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal bagi mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa- fasa seterusnya.

oa

Paparan eLKM melalui MyJPJ

pa

Paparan eLMM

"Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital. Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.

"Untuk pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, anda masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat / kertas LKM dan menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim.

"Untuk merealisasikan inisiatif pendigitalan tersebut, orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90 (1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram