Polis Melaka siasat dakwaan anggota kacau bini orang, skandal berlarutan sampai setahun


  • 112
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Tangkap layar video ketika anggota polis terbabit dipercayai ditangkap berdua-duaan dengan wanita tersebut di dalam sebuah rumah di Melaka baru-baru ini.

POLIS mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggotanya, yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dan mengganggu isteri orang seperti video tular di laman sosial Facebook sejak Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis juga menerima laporan daripada suami wanita terbabit mengenai salah laku anggota berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh itu.

"Perkara ini sedang dalam siasatan lanjut meliputi pelbagai elemen dan kami juga perlu hantar sampel video itu ke forensik untuk kami tentukan kesahihan yang dibuat oleh pengadu.

"Dalam isu ini, saya tidak akan berkompromi jika ia melibatkan salah laku anggota selain tidak teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Melaka pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan mengenai kes itu dijalankan oleh D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Katanya, anggota tersebut juga masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes itu disiasat di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook dan video dakwaan seorang lelaki mengenai masalah rumah tangga yang berusia sembilan tahun itu diganggu pihak ketiga, manakala dipercayai hubungan isterinya dan anggota terbabit telah berlarutan sehingga setahun. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram