Langgar dan seret pemuda sampai mati naik BMW lepas bergaduh, 2 suspek utama diburu polis Klang


  • 112
  • Khamis, 16 Feb 2023

(Dari kiri) Suspek utama, S. Sundar, 33, dan S. Philip Anthony, 24, disyaki melanggar mangsa berumur 32 tahun menggunakan kereta jenis BMW. — PDRM

POLIS sedang mengesan dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari hingga maut seorang pemuda tempatan di kawasan Ambang Botanik, Klang, Selangor kira-kira pukul 6 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek, S. Sundar, 33, dan S. Philip Anthony, 24, disyaki melanggar mangsa berumur 32 tahun menggunakan kereta jenis BMW, sebelum menyeret mangsa lebih kurang 40 meter sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku disebabkan perselisihan faham di antara kedua-dua pihak terbabit di sebuah kafe di Bandar Botanik Klang, sebelum mereka bertindak melanggar mangsa di tempat kejadian.

"Polis dimaklumkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada pukul 2.15 petang berkenaan, seorang lelaki warga tempatan dibawa ke Bahagian Kecemasan hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.30 pagi, kerana dilanggar oleh kenderaan di kawasan Ambang Botanik, Klang.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa oleh pegawai perubatan mendapati, punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat luka di sebelah kanan belakang kepala, luka bahagian lengan kiri, ibu jari tangan kanan dan patah tulang rusuk kiri.

Beliau berkata, Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

Susulan daripada itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

"Pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali suspek untuk menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Syed Robart Syed Mohd Zain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram