Bangunan 'rapuh' dilanda gempa, polis Turkiye mula buru kontraktor


  • Benua
  • Rabu, 15 Feb 2023

Pakar sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa terdapat banyak bangunan baharu di Turki tidak selamat untuk didiami disebabkan tidak memenuhi ciri keselamatan diperlukan akibat amalan rasuah dan dasar kerajaan. — AFP

PIHAK berkuasa Turkiye mula memburu individu dan entiti yang terbabit dalam pembinaan bangunan yang runtuh semasa kejadian gempa bumi di negara itu pada 6 Februari lalu sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

Pegawai kerajaan Turkiye memaklumkan sebanyak 113 waran tangkap telah dikeluarkan bagi menahan mereka yang terlibat dalam proses pembinaan bangunan tersebut.

Pada masa sama, polis Turkiye turut dilaporkan menahan sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk kontraktor bangunan.

Isu tahap keselamatan bangunan di Turki sudah dibangkitkan sejak sekian lama apabila pakar mendakwa kebanyakan bangunan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sepatutnya disebabkan amalan rasuah dan dasar kerajaan itu sendiri.

Dasar yang dimaksudkan itu adalah tindakan segelintir pegawai kerajaan membenarkan membenarkan kontraktor yang pernah melanggar peraturan pembinaan bangunan, mendapat projek baharu termasuk di kawasan berisiko gempa bumi.

Dalam kejadian pada 6 Februari lalu, laporan menyebut dianggarkan ribuan bangunan runtuh akibat gegaran kuat gempa itu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kesan bencana alam itu diburukkan lagi faktor kegagalan manusia.

Pada tahun 2013 Turki, memperkenalkan peraturan lebih ketat untuk membina bangunan selepas gempa bumi melanda negara kawasan barat laut negara itu pada tahun 1999 sehingga mengorbankan lebih 17,000 orang.

Setakat Selasa, kejadian gempa bumi yang melanda negara dan beberapa kawasan di Syria itu, sudah mengorbankan seramai lebih 37,000 mangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram