ISU kesesakan lalu lintas kebelakangan ini kian meruncing dengan sesi persekolahan dan individu bekerja terpaksa keluar awal pagi bagi mengelak daripada lewat ke lokasi dituju.
Lebih menyedihkan, beberapa pihak turut mendakwa mereka terpaksa tidur dan menginap di dalam kereta kerana memulakan perjalanan pada awal pagi.
Perkara itu boleh dikatakan sudah menjadi ikutan dan trend rata-rata rakyat Malaysia dengan masalah itu tiada berkesudahan sehingga memaksa masyarakat menghabiskan masa di jalan raya.
Golongan ibu bapa merupakan antara yang paling terkesan dengan situasi itu kerana perlu menghantar anak ke sekolah dan dalam masa sama berkejar ke pejabat dan sebagainya.
Berhubung perkara itu, warganet di laman media menggesa agar pihak kerajaan kembali menjalankan sistem Work From Home (WFH) seperti yang pernah diterapkan pada penularan wabak Covid-19 sebelum ini.
Sebelum ini, perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh kerajaan telah menjadikan rakyat hanya boleh duduk di rumah dan keluar dari rumah apabila ada urusan yang penting sahaja.
Penggunaan peranti teknologi amat disarankan ketika penularan wabak berkenaan dengan setiap pekerja diarahkan untuk WFH di rumah.
Henri Kurnia menggesa agar sistem WFH kembali dijalankan untuk syarikat swasta dan kerajaan bagi mengelak masalah itu berlarutan.
"Sebab itu semua syarikat swasta dan kerajaan kalau boleh laksanakan WFH, hanya yang perlu sahaja masuk pejabat, selagi boleh buat kerja di rumah biarlah di rumah kurang sikit kesesakan lalu lintas," ujarnya.
"Dah macam jadi kebiasaan ibu bapa hantar anak ke sekolah perlu gerak sebelum subuh dan tidur dalam kereta sementara tunggu waktu pejabat bermula," kata Rusniza Othman.
"WFH ni ada bagusnya, dapat elak jalan sesak dan kurangkan pembaziran minyak dan sebagainya, kalau tidak memang banyak masa yang dihabiskan dan selamanya la terpaksa tidur dalam kereta," tambah Zulfahmi.
Pandemik telah membuktikan bahawa pekerja masih boleh menjadi produktif dan berjaya sama seperti di pejabat.
Justeru, sistem WFH amat diperlukan oleh rakyat Malaysia dengan perkara itu diyakini akan lebih memudahkan dan menjimatkan masa khususnya bagi golongan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram