[VIDEO] Lagi kes sindiket minta sedekah di KK, polis mohon saksi kemuka laporan segera


  • Tular
  • Khamis, 09 Feb 2023

Tangkap layar dua kejadian melibatkan sindiket peminta sedekah kanak-kanak yang berlaku di Kota Kinabalu, Sabah.

SINDIKET peminta sedekah di Kota Kinabalu, Sabah semakin bertambah kebelakangan ini dengan kes terbaharu, menyaksikan sekumpulan kanak-kanak berkeliaran dan meminta wang pada pemandu.

Perkara itu merupakan kes kedua yang berlaku di lokasi sama selepas kanak-kanak terbabit sebelum ini didakwa bergayut pada sebuah kenderaan.

Terdahulu, seorang budak lelaki dilihat bergayut pada sebuah kereta ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah di lokasi sama.

Selang beberapa minggu kemudian, masyarakat di situ sekali lagi digemparkan dengan perbuatan sekumpulan budak lelaki yang berlari dan melempar sampah pada kereta mereka.

Rakaman kejadian dikongsikan di laman Twitter dan hangat diperkatakan warganet.

Susulan insiden terbabit, jurucakap dari balai polis Kota Kinabalu, Sabah menggesa pihak yang mempunyai maklumat untuk segera membuat laporan.

"Kami maklum tentang isu sindiket peminta sedekah yang melanda di Sabah tetapi berkenaan kes yang seperti dalam video tular itu masih belum ada laporan dibuat.

"Mereka yang ada maklumat ataupun saksi kejadian diminta hadir ke balai berhampiran untuk membantu siasatan.

"Tidak kira sama ada jauh ataupun berdekatan dengan balai polis Sabah, semua boleh ke balai berhampiran asalkan polis terima laporan dan butiran lanjut," katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, isu peminta sedekah di Sabah kerap berlaku sejak tahun lalu dan rata-rata masyarakat percaya bahawa ia dianggotai oleh individu kanak-kanak yang sama.

Dengan kes itu semakin meruncing di kawasan terbabit, diharap pihak yang berkenaan segera tampil membantu polis agar kejadian tersebut dapat dibendung segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram