[VIDEO] Masih bebas, pemandu Wira berani mati lawan arus di PJ bakal dijel 5 tahun, denda RM15,000


  • Tular
  • Rabu, 08 Feb 2023

Sebuah kenderaan jenis Proton Wira dilihat bergerak dalam keadaan melawan arus di Lebuhraya Persekutuan menghala ibu negara pada Selasa.

SEBUAH kenderaan jenis Proton Wira dilihat memandu melawan arus di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur berhampiran pusat beli-belah Amcorp Mall pada Selasa.

Suspek difahamkan masih bebas dan hukuman berat bakal dikenakan kepada si pelaku jika berjaya ditahan polis.

Memandu secara merbahaya di laluan berkenaan, kenderaan terbabit dilihat bergerak laju di lorong kiri sambil dihon oleh beberapa buah kereta lain yang berada di laluan sama.

Dikongsikan di laman Facebook, insiden tersebut menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengesan video tular yang memaparkan kejadian itu dan satu laporan serta kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes terbabit.

Bagi kesalahan tersebut, kata beliau, mengikut seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu secara melulu dan membahayakan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 dan hilang kelayakan lesen selama tidak kurang lima tahun.

Pada masa sama, katanya, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dan membahayakan nyawa serta keselamatan pengguna lain.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemandu terbabit, pemilik video ataupun mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta hadir ke balai untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram