SINDIKET judi online nampaknya semakin berani dan kreatif untuk menarik minat orang ramai dengan menggunakan pelbagai taktik.
Sebelum ini, gambar selebriti Izzue Islam pernah digunakan oleh syarikat perjudian atas talian tanpa pengetahuan untuk memperdaya orang ramai.
Hal itu menyebabkan artis tersebut dikecam kerana dikatakan tidak menghormati sensitiviti orang Islam.
Izzue kemudiannya bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan meminta orang ramai untuk berhati-hati.
Terbaharu, pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman pula menjadi mangsa syarikat perjudian.
Menggunakan modus operandi yang sama, iklan judi tersebut memaparkan wajah Arif Aiman yang disunting berlatarbelakangkan permainan judi, kononnya dia dilantik sebagai duta.
Gambar Arif Aiman dan Safawi Rasid yang disalah guna oleh syarikat perjudian online. — Facebook
Pada masa sama, ejen-ejen judi ini licik menyasarkan kelab-kelab peminat bola di media sosial dengan menawarkan keuntungan ribuan ringgit.
Antara kelab penyokong bola sepak yang disasarkan oleh ejen judi ini ialah Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Sembilan.
Hasil pemerhatian Majoriti, pengguna Facebook menggunakan nama Putri Aulia dan Yuki Yap dilihat galak mempromosikan judi online ini dengan menggunakan gambar Arif Aiman.
Selain Arif Aiman, seorang lagi pemain JDT yang dipinjamkan ke kelab Thailand, Ratchaburi, Safawi Rasid turut menerima nasib yang sama.
Dalam iklan tersebut, ejen judi berkenaan turut menawarkan kredit percuma buat pelanggan.
Lebih mengejutkan lagi, syarikat perjudian online tersebut dengan beraninya mendakwa mereka mempunyai lesen perjudian yang disahkan oleh kerajaan.
"Pertaruhan 918Kiss di LUXURY918. Kredit percuma setiap hari RM100. Deposit pertama boleh dapat Jackpot RM24560
"LUXURY918 Kasino Kerajaan berlesen. LUXURY918 cepat dan pantas pengeluaran wang 24 jam deposit pertama.
"Sila hubungi kami di Telegram 011*******6 dan WhatsApp 6011*******6," tulis individu berkenaan.
Ejen judi atas talian itu turut dipercayai menggunakan akaun palsu dan gambar orang lain untuk mengelakkan identiti sebenar mereka terdedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,