Suami dayus sibuk berpoligami, tinggal isteri mental dan 7 anak hidup merempat


  • Primer
  • Ahad, 05 Feb 2023

Wakil petugas Skuad Saidina Umar LZS menyerahkan sumbangan kepada ibu 7 anak yang ditinggalkan suaminya baru-baru ini. — Facebook LZS

HABIS madu sepah dibuang. Perumpamaan itu mungkin sesuai bagi menggambarkan nasib seorang wanita pesakit mental yang terpaksa menanggung tujuh anaknya secara bersendirian selepas diabaikan oleh suaminya.

Lelaki itu dikatakan jarang pulang ke rumah kerana sudah bernikah lain dan menguruskan keluarga baharu.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan, nasib keluarga malang itu mendapat perhatian pihaknya selepas mereka diminta keluar dari rumah sewa.

Kata LZS, keluarga wanita itu diarah keluar selepas bayaran sewa tertunggak lebih tiga bulan sejak Oktober tahun lalu.

"Tuan rumah tidak dapat meneruskan sewa kerana dia juga berdepan dengan masalah kewangan akibat perlu menanggung bayaran bulanan pinjaman perumahan tersebut," kata LZS dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Dua petugas Skuad Saidina Umar LZS mengambil keterangan daripada lapan beranak yang dihalau daripada rumah sewa di Selangor  baru-baru ini.

Dua petugas Skuad Saidina Umar LZS mengambil keterangan daripada lapan beranak yang dihalau daripada rumah sewa di Selangor baru-baru ini. — Facebook LZS

Pihak LZS melalui Skuad Saidina Umar (SSU) mengambil tindakan segera menyantuni wanita itu yang kini buntu mengenang nasib diri dan anak berusia lingkungan empat hingga 14 tahun di bawah tanggungannya.

Menurut LZS, wanita itu merupakan pesakit mental dan bergantung dengan ubat-ubatan psikiatri untuk mengawal emosinya agar tidak bertindak agresif.

Malah, LZS memberitahu, tekanan wanita itu semakin bertambah sejak suami bernikah dengan wanita lain.

"Hal ini memberi tekanan pada isteri sehingga anak sulung berusia 14 tahun juga kini menerima rawatan psikiatri kerana kerap mengamuk serta tidak dapat dikawal seperti mendengar bisikan.

"Anak remaja yang berusia 14 tahun kini juga perlu mengambil ubat penenang setiap hari bagi mengawal emosinya," jelas LZS.

Sehubungan itu, LZS menjelaskan, tindakan segera diambil termasuk menyerahkan sumbangan tunai serta bantuan lain.

"Badan bukan kerajaan (NGO) dan jiran sekitar juga sangat membantu dan sentiasa memastikan agar keperluan keluarga ini mencukupi dan tidak terputus.

"Malah, hasil perbincangan bersama tuan rumah juga berjaya dicapai dan dia bersetuju untuk memberikan sewa selanjutnya buat ibu ini dan tujuh anaknya," menurut LZS.

Tambah LZS, tunggakan sewa rumah dan bayaran sewa bulanan selepas ini akan diuruskan pihaknya dan kes itu akan dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan menerusi khidmat kaunseling serta akta perlindungan.

"Poligami itu ada kaedah dan prosedurnya (tetapi) berlaku adillah dan jangan menzalimi serta melepaskan tanggungjawab utama. Semuanya akan dipersoalkan di hadapan ALLAH kelak," jelas LZS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram