Malaysia tangga ke-4 paling banyak motosikal di dunia, kerajaan digesa kaji kos sara hidup rakyat


  • Massa
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Malaysia berada di kedudukan keempat penggunaan motosikal terbanyak di dunia. — Gambar hiasan

BERDASARKAN kajian yang dilakukan oleh Pew Research Center, Malaysia kini berada pada tangga keempat penggunaan terbanyak motosikal di dunia apabila mencatatkan 83 peratus isi rumah memiliki kenderaan tersebut.

Kedudukan pertama kajian itu didominasi oleh sebuah lagi negara dari rantau Asia Tengara, Thailand apabila 87 peratus daripada jumlah penduduknya memiliki kenderaan dua roda itu.

Lebih mengejutkan, China yang merupakan antara negara dengan bilangan penduduk paling ramai di dunia sebaliknya berada di bawah Malaysia iaitu di tangga kelima apabila mencatatkan 60 peratus isi rumah mempunyai motosikal di negara tersebut.

sa

Kajian yang dilakukan Pew Research Center.

Kajian ini secara tidak langsung menunjukkan betapa rakyat di negara ini amat memerlukan motosikal sebagai pengangkutan utama harian mereka.

Dalam pada itu, situasi itu juga boleh dikaitkan dengan isu kemalangan jalan raya yang kerap melibatkan penunggang motosikal kebelakangan ini.

Namun, ada pihak turut menyatakan pendapat mereka dengan kos sara hidup serta kesesakan lalu lintas yang menjadi punca utama penduduk di negara ini lebih gemar menggunakan motosikal berbanding kenderaan empat roda lain.

Di laman Facebook, netizen, Ahmad Nazzar menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan kajian lanjut berkenaan kos sara hidup tinggi yang ditanggung rakyat ketika ini.

"Cuba kaji pula apa sebab boleh jadi macam itu, kos sara hidup tinggi ke atau kesesakan lalu lintas, rakyat bukan suka-suka nak ambil risiko bahayakan keselamatan diri sendiri," katanya.

"Ini menunjukkan pendapatan keluarga terlampau rendah dan dibelenggu kemiskinan, rata-rata rakyat Malaysia hanya mampu beli sebuah kereta dan ramai memilih motosikal kerana kos yang jauh lebih murah walaupun indeks kemalangan tinggi melibatkan penunggang motosikal," ujar Khuzaidi Othman.

"Fasiliti kemudahan masih lagi kurang dengan terlampau banyak kenderaan atas jalan raya, lagi-lagi dengan lambakan warga asing yang gunakan bas dan pengangkutan awam, rakyat negara sendiri pun tak ada pilihan lain selain terpaksa menunggang motosikal ke tempat kerja," tambah Hanis Zariman.

Justeru, desakan rakyat ketika ini dilihat tertumpu kepada kos sara hidup tinggi serta lambakan warga asing yang dikatakan telah meragut hak istimewa kemudahan pengangkutan awam yang disediakan.

Diharap isu ini dapat diselesaikan oleh pihak berwajib dengan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal juga dijangka akan lebih terkawal sekiranya perkara ini dikaji semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram