'Berpada-pada kaut untung', mufti tegur agensi umrah, saran rangka garis panduan baharu


  • Primer
  • Khamis, 02 Feb 2023

Kos penerbangan bagi mengerjakan ibadah umrah dikatakan semakin meningkat naik kebelakangan ini. — Awani

BEBERAPA syarikat yang menawarkan pakej umrah dilaporkan mengaut keuntungan lebih dengan membolot kesemua tiket penerbangan tempatan ke Tanah Suci.

Perkara itu sekali gus mengundang masalah buat masyarakat yang ingin mengerjakan ibadah umrah selepas kenaikan harga mendadak dilaporkan berlaku kebelakangan ini.

Susulan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi amaran akan membatalkan lesen agensi umrah yang bertindak sedemikian.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tidak akan berkompromi dengan kegiatan itu yang telah menjadi antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.

“Kalau betul berlaku, kita akan ambil tindakan termasuk membatalkan lesen kalau didapati tidak mengikut undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad berpendapat, beliau enggan menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya semua masyarakat Islam perlu memainkan peranan penting dalam hal itu.

"Saya tak mahu tuding jari kepada sesiapa atau pihak kerajaan, umrah ini satu ibadah maka sesiapa sahaja yang terlibat perlu lihat ke arah untuk membantu memudahkan orang mengerjakannya.

"Bukan sahaja kos penerbangan yang terkesan, hotel, pengangkutan, dan urusan jemaah haji di Tanah Suci juga akan meningkat naik berikutan masalah ini.

"Semua pihak perlu insaf diri, saya akui ini memang melibatkan perniagaan sesebuah syarikat tapi perlu berpada-pada dalam mendapatkan keuntungan dan tidak menyusahkan orang yang nak kerjakan umrah," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, pihak berwajib perlu kemukakan garis panduan terbaharu untuk diikuti semua syarikat agensi umrah.

"Satu penilaian perlu dibuat oleh kerajaan supaya isu seperti ini dapat dibendung dengan sebaik mungkin.

"Di Johor, kami sedang merangka garis panduan untuk ibadah badal haji, kalau terlampau murah agak sukar kita nak percaya bahawa ibadah itu boleh dilakukan dengan sempurna tetapi kalau terlampau mahal pula menyebabkan orang susah nak pergi.

"Itu semua dalam semakan kami namun soal kos pengangkutan bukan di bawah kuasa kami, jadi platform media sosial akan digunakan untuk memberikan kesedaran kepada pihak yang berkenaan," ujarnya.

Difahamkan, satu garis panduan baharu akan diumumkan oleh Jabatan Mufti Johor sebelum bulan Ramadan nanti dan setakat ini semuanya masih di bawah pantauan pihak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram