Alasan tak ada duit bayar gaji, Muhyiddin hantar surat mohon SPRM batal pembekuan


  • Primer
  • Khamis, 02 Feb 2023

Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media berkata, pihaknya akan menghantar surat pembatalan kepada SPRM berhubung pembekuan akaun bank partinya. — Awani

SUSULAN pembekuan akaun bank parti Bersatu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu, presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhabarkan akan menghantar surat permohonan agar perkara itu dibatalkan.

Menurutnya, meskipun siasatan masih dijalankan ketika ini, namun, sekiranya tiada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selepas disemak SPRM, akaun parti itu tidak perlu dibekukan.

"Bersatu akan hantar surat kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan.

"Kami sebagai pertubuhan politik tiada duit nak bayar gaji pentadbiran bukan untuk sebulan tetapi sepanjang masa.

"Kalau kata untuk tiga bulan, susah pegawai saya tiada gaji nak bekerja di pejabat dan sebagainya. Ia memberi kesan kelicinan pengurusan parti untuk negara dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam sidang media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

Mengulas mengenai dakwaan salah laku terhadap parti itu melibatkan dana Pakej Ransangan Ekonomi, tegas Muhyiddin, tuduhan itu tidak benar.

"Merujuk bank akaun Bersatu dibekukan, saya ingin menegaskan Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Ransangan Ekonomi bernilai RM92.5 billion seperti didakwa sesetengah pihak.

"Pada masa ini SPRM telah memperolehi penyata kewangan dan dokumen berlenaan kewangan Bersatu, saya percaya siasatan SPRM dijalankan profesional akan membersihkan nama Bersatu," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berpendapat bahawa pembekuan itu boleh menjejaskan kempen menjelang pilihan raya negeri yang akan berlansung nanti.

Menjelaskan akaun bank Bersatu tidak mempunyai wang yang banyak, beliau tidak tahu tindakan itu berkaitan isu apa sehingga beberapa akaun partinya dibekukan sejak tiga minggu lalu.

“Kalau tidak ada duit langsung, nak jalankan pilihan raya bukan mudah. Jadi, ia akan menekan usaha kita dalam kempen nanti.

“Tetapi kalau perlu kita berjalan, berjumpa dengan rakyat seorang demi seorang setakat mana yang kita mampu, kita akan teruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya telah memberikan kerjasama kepada SPRM dan mengharapkan agar siasatan segera dilakukan kerana ia boleh mendatangkan masalah dalam isu gaji pekerja dan sebagainya.

“Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana pakej rangsangan ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.

“Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia telah difailkan di RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram