Johor keluar fatwa umat Islam hadir majlis perayaan agama lain


  • Primer
  • Khamis, 02 Feb 2023

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengeluarkan kenyataan berhubung larangan umat Islam menghadiri upacara keraian agama lain. — Bernama

KERAJAAN negeri Johor memfatwakan garis panduan buat umat Islam berkenaan upacara perayaan masyarakat bukan Islam di negeri itu selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, bermula minggu depan masyarakat Islam dibenarkan memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, namun tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang upacara atau ritual yang berkait dengan amalan agama tersebut.

"Menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus dan dibenarkan, contohnya majlis terbuka atau majlis makan malam sempena perayaan dan seumpamanya.

"Sehubungan itu, penganjur sesuatu majlis bukan Islam hendaklah sentiasa peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras dengan agama Islam sebagai agama persekutuan dan di negeri Johor," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, ulamak daripada empat mazhab, Hanafi, Maliki, Syahie dan Hanbali telah bersepakat bahawa hukum umat islam menghadiri upacara keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

Upacara ritual bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahu pun di tempat-tempat lain yang biasa dijalankan upacara seperti itu.

"Oleh itu, umat Islam adalah ditegah dan dilarang menghadiri, menyertai atau merayakan upacara ritual perayaan agama bukan Islam," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, umat Islam yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Menurutnya, empat garis panduan tersebut adalah perkara, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah Islam; bertentangan dengan syarak; bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram