Belajar proses dadah secara online, pemandu e-hailing ditahan bersama stok RM6.38 juta


  • 112
  • Khamis, 02 Feb 2023

Seorang pemandu e-hailing ditahan polis dalam satu serbuan dijalankan di Seri Kembangan, Petaling, Selangor. — Gambar hiasan

SEORANG pemandu e-hailing ditahan berhubung rampasan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM6.38 juta.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Anbalagan berkata, polis menyerbu sebuah premis di kawasan perindustrian di Seri Kembangan, Petaling, Selangor pada Jumaat lalu.

“Serbuan dilakukan ke lokasi berkenaan sekitar pukul 7 malam dan suspek berusia 44 tahun ditahan.

“Kami merampas 47 bungkusan yang mengandungi 70.71kg MDMA, 16 bungkusan mengandungi 52.33kg MDMA, 504g syabu, 18 botol yang mengandungi 301.87g dadah, 21 pil ekstasi dan 13.8g ganja,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek telah aktif sejak lebih setahun lalu dan dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM15,000 dalam masa dua hingga tiga minggu kegiatan yang dijalankan.

"Hasil siasatan mendapati bahawa 10kg MDMA boleh menghasilkan 50,000 pil ekstasi.

“Suspek dipercayai belajar untuk memproses dadah daripada video dalam talian atas desakan ingin memperoleh pendapatan lumayan berbanding yang diperolehnya sebagai pemandu e-hailing,” katanya sambil menambah suspek mempunyai rekod memiliki dadah.

Beliau berkata, polis turut merampas tiga mesin dan peralatan lain yang digunakan untuk memproses dadah.

“Kami turut merampas sebuah van Toyota Hilux, Nissan NV20 dan wang tunai RM10,000.

“Kami kini sedang mencari suspek lain yang masih bebas dan mempunyai kaitan dengan sindiket itu,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram