Bukan saja taktik licik curi duit tabung, telefon pintar pun disonglap dalam masjid


  • Tular
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Masjid menjadi sasaran utama si pencuri untuk melarikan wang serta barangan berharga orang awam.

KES kecurian tabung masjid kian berlarutan dan kegiatan ini masih sukar dibendung oleh pihak berkuasa mahupun komuniti di sesebuah kawasan.

Saban hari, ada sahaja kes kecurian di masjid berlaku dan rata-ratanya menggunakan taktik dan modus operandi yang berbeza-beza.

Meskipun sedar adanya kamera litar tertutup (CCTV) yang tersembunyi, namun sesetengah individu dilihat masih berdegil dan meneruskan rancangan mereka untuk mencuri.

Ada yang tertangkap dan ada juga yang berjaya meloloskan diri, namun segala laporan semestinya sudah diterima oleh pihak polis dengan sebahagian daripadanya masih dalam siasatan.

Berikut merupakan lima kes kecurian di masjid dengan pelbagai taktik yang dirancang oleh si pencuri.

mangga

1. Potong kunci mangga

Kejadian ini boleh dikatakan sebagai kes pembukaan bagi tahun 2023 susulan ia merupakan insiden pertama yang dilaporkan berlaku pada tahun ini.

Sebuah Masjid di Kampung Sungai Ayam, Batu Pahat, Johor menjadi mangsa kecurian duit tabung selepas seorang lelaki dilihat melakukan kerja-kerja pemotongan kunci mangga pada peti besi tersebut.

Tidak diperhatikan oleh kakitangan mahupun jemaah masjid, kes terbabit dikatakan berlaku sekitar pukul 3 petang dan pencuri berkenaan disyaki penduduk di kampung tersebut.

Menggunakan sejenis alat pemotong yang dibawa, suspek kemudiannya berjaya membuka peti besi tersebut dan terus melarikan wang masjid berkenaan.

berpura

2. Pura-pura sembahyang

Seorang lelaki mencuri duit tabung dipercayai di sebuah surau di Miri, Sarawak berjaya dirakam kamera CCTV.

Suspek yang dilihat berbaju merah berseluar hitam itu terlebih dahulu berpura-pura sembahyang sebelum memecahkan tabung masjid berkenaan.

Menurut individu yang berkongsi video tersebut, pihak surau tidak membuat sebarang laporan kepada pihak polis kerana ingin meminta lelaki terbabit menyerah diri dan menyelesaikan jenayah itu dengan cara baik.

Namun, suspek dipercayai tidak berjaya mengambil duit di dalam tabung tersebut berdasarkan keadaan tabung itu dikatakan masih sempurna.

grinder

3. Pencuri guna mesin 'grinder'

Selain taktik lakonan, pencuri juga tidak ketinggalan menggunakan mesin cangggih untuk melarikan wang tabung masjid.

Kejadian yang berlaku di Masjid Al-Amin Butterworth, Pulau Pinang pada Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pencuri menggunakan mesin pengisar untuk memotong peti besi simpanan wang masjid.

Dilihat cemas ketika melakukan kegiatan itu, suspek kemudiannya melarikan diri sebaik beberapa individu hadir ke masjid berkenaan.

Mesin grinder itu juga dipercayai hak milik masjid berkenaan dan sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan kelicikan pencuri itu.

2 kali

4. Dua kali curi di lokasi sama

Bukan sekali, tetapi dua kali pencuri ini dilaporkan telah mencuri duit tabung di Masjid Nadhah Al Islam di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat itu menunjukkan suspek menggunakan besi nipis panjang untuk mengaut wang kertas daripada tabung derma orang ramai itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu selepas ahli jawatankuasa masjid berkenaan membuat semakan terhadap CCTV.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek sehingga sekarang.

lead - 6

5. Lelaki 'bertelekung' curi telefon pintar

Selain duit tabung, telefon pintar juga menjadi sasaran si pencuri.

Seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita di sebuah masjid di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor mengundang perhatian ramai apabila tertuduh didakwa mencuri telefon pintar jenis iPhone X ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh pada Disember tahun lalu.

Ketika kejadian, suspek terlebih dahulu mengambil telekung di rak almari sebelum menceroboh masuk ke kawasan solat wanita untuk mencuri.

Hasil siasatan polis, suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas dua pertuduhan mencuri telefon pintar milik dua jemaah wanita.

Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di dua masjid di Shah Alam, Selangor.

Justeru, diharap agar kejadian sedemikian tidak berulang lagi di masa akan datang dan semua pihak dituntut agar sentiasa memantau keselamatan diri mahupun harta benda ketika di masjid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram