[VIDEO] Berulang kali menjerit 'Aku Tuhan', lelaki pegang sabit mengamuk di tengah jalan di Pasir Puteh


  • Tular
  • Khamis, 02 Feb 2023

Tangkap layar seorang lelaki bersenjatakan sabit mengganas di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Putih, Kelantan.

KECOH penduduk di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan apabila seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan berkelakuan ganas pada Khamis.

Ketika kejadian, lelaki berbaju berwarna kuning itu terlebih dahulu memandu lori di kawasan berkenaan sebelum mula menyerang beberapa penduduk.

Bersenjatakan sebilah sabit, suspek kemudiannya berjaya ditahan beberapa orang awam sebelum dia direbahkan ke jalan oleh seorang lelaki bertopi keledar biru.

Beberapa kali menjerit "Aku Tuhan", identiti suspek masih belum diketahui setakat ini dan pihak polis difahamkan telah menerima laporan kes tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima panggilan orang awam mengenai seorang lelaki sedang mengamuk menggunakan sebilah sabit di hadapan pejabat Mardi, padang Pak Amat, Kelantan sekitar pukul 9.10 pagi.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Pasir Puteh ditugaskan ke lokasi dan sebaik tiba, suspek telah berjaya ditahan penduduk kampung.

"Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis dan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

"Semakan dijalankan mendapati rakaman insiden itu telah tular di laman media dan orang ramai dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut," katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh berhubung terus dengan pihak polis di balai berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram